“Mungkin Mereka Mahu Jadi Seperti Saya Suatu Hari Nanti” – As’ad Motawh Tayang Badan Mahu Jadi Inspirasi

Penyanyi As’ad Motawh memberitahu kini dia lebih berdisiplin dalam menjalani rutin harian selepas memilih untuk menjalani hidup yang lebih sihat.

Menurutnya, sejak bersenam di gimnasium, dia sering tidur dan bangun pagi lebih awal dan menjadi versi dirinya yang lebih baik daripada sebelumnya.

“Ya betul, saya kini sedang menjalani rutin hidup yang lebih sihat. Saya cuba untuk mencabar had yang ada dalam diri sementara saya masih hidup. Saya nak tengok berapa jauh saya boleh pergi.

“Ketika saya jalani gaya hidup sihat, saya memang tidak hiraukan pendapat orang lain. Tiada apa yang lebih penting berbanding kepuasan diri.

“Saya bangun pukul 5.30 pagi setiap hari dan tidur pukul 10 malam. Saya cuba jaga disiplin saya sebaiknya, cuba jadi versi saya yang lebih baik,” katanya.

Memetik laporan Gempak, As’ad mengatakan tindakan menayang badan di media sosial miliknya adalah untuk memberi motivasi kepada orang muda diluar sana.

“Sebab saya ada peminat, mereka ‘pandang’ saya dan mungkin berkata dalam hati yang mereka mahu menjadi seperti saya suatu hari nanti.

“Ada sahaja yang meminta saya tunjuk lebih (tayang badan), tapi saya cuba untuk tidak kongsi dengan berlebihan,” ujarnya.

Maya Basir