Mimpi Dipatuk Ular Tedung, Belum Rezeki Zul 2By2 & Intan Maya Untuk Timang Anak – “Isteri Alami 2 Kali Keguguran”

Bekas anggota kumpulan The Girls, Intan Maya memaklumkan bahawa telah keguguran sebanyak dua kali sejak berumah tangga pada Februari.

Jelasnya, dia mendapat mimpi yang aneh seperti hampir dipatuk oleh ular tedung berwarna merah dan hitam sebelum keguguran buat pertama kalinya.

“Mula-mula saya tak datang bulan, saya fikir eh sangkut (hamil) ke ni? Kemudian saya beritahu suami, kenapalah tak sedap badan.

“Masa tidur saya bermimpi, ketika tersedar saya rasa bahagian bawah perut sakit sangat, dah tak tahan sangat.

“Saya mimpi ular tedung warna merah dan hitam. Suasana tu di perkampungan orang asli dan saya terjatuh dari lereng bukit, ada air terjun. Masa nak bangun tu, saya terpegang ular, dia dah hampir patuk dah.

“Saya lafaz ‘Ya Allah tolonglah aku, selamatkan aku’. Kemudian ia pergi. Bangun pagi tu dapat tahu dah keguguran,” jelasnya kepada Gempak.

Intan Maya yang juga merupakan isteri kepada penyanyi dan komposer Zul 2 By 2 itu turut menceritakan tentang kejadian yang aneh berlaku sehingga menyebabkan keguguran buat kali kedua ketika di temui di sidang media pelancaran single pertama penyanyi Aiden Daniel, Sampai Masa di Arina SkyView, Kuala Lumpur pada Ahad.

“Pada malam sebelum kejadian saya di bilik jahit, dengar macam orang menjerit marah. Saya berlari ke bilik tanya suami, kami panik siapalah yang menjerit dekat ruang tamu.

“Kami tutup pintu… Tengah baring-baring rasa mengantuk, tiba-tiba masa terbuka mata ada lembaga! Ya Allah buruknya muka dia dengan serabai datang ke arah saya.

“Kemudian kami kedai makan untuk sarapan pagi, tiba-tiba ada lipan datang patah balik ke arah kami. Padahal kami baru saja duduk, saya bunuh pakai kerusi,” ceritanya kepada Gempak.

Gara-gara insiden tersebut, Intan Maya mengalami sengal badan dan kandungannya gugur buat kali kedua.

Walaubagaimanapun, Intan Maya dan Zul berfikiran positif dan menganggap bahawa masih belum ada rezeki mereka untuk menimang cahaya mata.

Tambah, Zul dan isterinya membuat solat hajat dan mengamalkan bacaan Yasin sebagai salah satu ikhtiar untuk tidak berputus asa.

“Siapa yang tak kecewa kan? Cuma kami boleh ikhtiar dengan solat hajat dan mengamalkan bacaan Yasin.

“Saya pun masih cuba memahami insiden yang berlaku dan paling penting ambil tahu apa gangguan yang dialaminya untuk mengawal keadaan,” ujarnya kepada Gempak.

Sumber: Gempak

Atiqah Johari