Nad Zainal Semakin Baik, Ungku Ismail Dedah Pembahagian Tabung Dana – “Jumlah Terkumpul RM277,000, Kami Sedekah & Infaq Kepada…”

Pelakon, Ungku Ismail, 36, berkongsi perkembangan terkini rakan industri, Nad Zainal yang kini sedang dirawat di sebuah hospital swasta akibat jangkitan kuman di paru-paru. 

Menerusi sebuah perkongsian di Instagram miliknya, Ungku berkata keadaan Nad semakin pulih namun masih perlu berada di pusat pemulihan. 

“Nad masih lagi dalam recovering process dan masih berada dalam mode rehabiliti untuk paru-paru dia. Alhamdulillah, Nad semakin bertambah baik.

“Saya mohon agar semua terus doakannya dan agar dilenyapkan segala jenis penyakit. Allahumma Amin,” jelasnya. 

Mengulas lebih lanjut, Ungku berkata dia tidak dapat berkongsi secara lebih teliti atas permintaan keluarga Nad. 

“Saya tak nak kerap atau selalu update sebab dia banyak berehat jadi saya tak ada banyak perkara boleh terangkan tentang keadaan Nad secara teliti. 

“Satu hal lagi mengenai ketelitian, saya tak boleh nak cerita secara lebih lanjut atas permohonan ibu bapa Nad. Awalnya saya cerita secara teliti sebab nak elak kekeliruan orang ramai,” katanya. 

Dalam kesempatan itu, Ungku turut menjelaskan penggunaan hasil wang dana yang dikumpulkan melalui Pertubuhan Kebajikan As Siddiq turut disalurkan sebagai infaq atas nama Nad. 

“Jumlah yang dapat dikumpulkan ialah sebanyak RM270,000. Daripada jumlah tersebut, kami sudah ada perjanjian dimana sebanyak tiga peratus akan diberikan kepada pertubuhan tersebut sebagai management fee. 

“Sebahagiannya sudah disalurkan kepada hospital untuk membiayai pendapatan. Sebahagiannya lagi akan diberi tumpuan kepada rawatan dan ikhtiar untuk Nad,” jelasnya. 

Sementara itu, Ungku turut menjawab persoalan ramai yang bertanya sama ada Nad ada menggunakan rawatan islamik. 

“Kami ada menggunakan perbuatan islamik daripada hari kedua lagi memang telah diusahakan oleh ayahnya. Minta pusat tahfiz doakan, beri air zam zam, kami ada lakukan. 

“Ikhtiar yang paling saya rasa paling berkesan adalah daripada sumbangan itu kami juga bersedekah kepada orang lain. 

“Kami infaqkan atas nama Nad atas amalan untuk mengundang kepada ubat mujarab untuk penyakitnya. Ada sebahagian kami sudah infaqkan kepada masjid, pusat tahfiz dan kepada yang memerlukan. 

“Selebihnya kami akan salurkan terus kepada Nad sebagai post care iaitu pasca pengurusan harian Nad Zainal sebabnya selepas dia keluar sahaja dari hospital dia tidak boleh terus jalani penggambaran. 

“Nad most likely dia tak boleh nak aktif seperti selalu, perlu ambil masa dengan berehat dirumah. Apabila punca rezeki utamanya datang dari drama, jadi kami salurkan selebihnya itu untuk membantunya kelak,” katanya lagi. 

Aqilah Paharuzi