Nadhir Nasar Tolak Tawaran Jadi Hero, Akui Masih Belum Cukup Pengalaman – “Saya Berada Di Sini Untuk Jangka Masa…”

Pelakon Nadhir Nasar mengakui ilmunya dalam lakonan masih belum cukup untuk membawa watak sebagai pelakon utama dalam sebuah naskhah.

Menurut Nadhir, dirinya yang masih muda dan pengalaman yang masih baru dalam dunia lakonan membuatkannya lebih selesa menerima tawaran pelakon pembantu buat masa sekarang.

“Dengan ilmu yang saya miliki hari ini, rasanya belum layak membawakan watak hero.

“Bila berlakon, kita melibatkan banyak orang dan mahu proses penggambaran berjalan lancar.

“Buat masa ini, saya mahu meneroka pelbagai watak antagonis atau karakter yang beremosi. Lagi pula saya masih muda,” katanya.

Meskipun ada pihak yang beranggapan dirinya melepaskan peluang keemasan untuk membawa watak utama, dia percaya ada rezeki lain buat dirinya.

“Tawaran ada, cuma bukan sekarang. Ada yang cakap saya seperti menolak tuah, tapi saya percaya kepada rezeki Allah. Masa saya akan datang suatu hari nanti.

“Saya berada di sini untuk jangka masa yang lama,” ujarnya semasa ditemui di majlis sidang media Super Wira di Pavillion Bukit Jalil, baru-baru ini.

Nadhir bakal tampil sebagai Roy dalam drama baru, Super Wira bersama barisan pelakon lain iaitu Beto Kusyairy, Mira Filzah, Zizan Razak, Ezzaty Abdullah, Idan Aedan dan Arena Wan.

Maya Basir