Nadia Brian Selamat Bertunang

Pelakon dan model jelita, Nadia Brian, 28, selamat menjadi tunang kepada Mu’izz Nasruddin, 28, di sebuah hotel di sini, hari ini.

“Muiz lelaki yang baik, sangat bertanggungjawab dan saya bertuah dapat mengenalinya.

“Dia sangat memahami dan tidak segan untuk bertemu dengan keluarga kerana mahu menjadi saya isteri dan itulah yang membuatkan saya terbuka hati menerima lamarannya.

“Saya terharu dengan bantuan kedua-dua belah pihak keluarga kerana bertungkus-lumus menjayakan majlis ini walaupun saya sibuk dengan penggambaran,” katanya.

Nadia mendedahkan majlis perkahwinan akan diadakan seawal 19 September atau selewat-lewatnya Februari 2020.

“Kedua-dua pihak bersetuju dengan tarikh itu tetapi mereka menyarankan majlis perkahwinan diadakan lebih awal,” katanya.

Pada majlis tadi, pihak Nadia menyerahkan tujuh dulang hantaran berbalas lima dari pihak lelaki.

Nadia turut menerima sebentuk cincin yang disarungkan ibu Mu’izz sambil diperhatikan wakil keluarga masing-masing dan lebih 300 tetamu lain.

Menariknya, upacara menyuap manisan kepada Nadia turut dilakukan tujuh wakil pihak lelaki sebagai tanda merestui perjalanan pasangan itu ke jenjang pelamin.

Imbas kembali, pada awal Februari, Nadia pernah berkongsi gambar dilamar Mu’izz ketika berada di hadapan Menara Eiffel, Paris.

Oleh: Endy Ashari

SGMS Faida