‘Jangan Takut Kalau Kurang Peminat Tapi…’- Ramli Sarip Tegur Penyanyi Muda

Lebih 30 tahun bergelar penghibur, papa rock Malaysia Ramli Sarip berkongsi pesanan kepada pelapis baharu dalam dunia nyanyian agar tidak obses mengejar populariti tanpa mengambil kira kualiti lagu yang diketengahkan.

Penyanyi berusia 67 tahun ini berharap agar penyanyi masa kini menghasilkan karya yang mampu ‘hidup’ dalam beberapa tempoh tahun mendatang.

“ Ramai anak muda yang menjadi penyanyi masa kini perlu faham erti ‘survival’ dalam bidang seni. Bukan sekadar keluar lagu sekarang, selepas itu keluar lagi. Tepuk dada tanya diri, ke mana hala tuju lagu itu selepas lima tahun ke hadapan?

“ Anda beruntung jika masih muda dan hadir dalam pakej lengkap. Tetapi kita tidak boleh paksa peminat suka dengan kita selamanya.

“ Atas sebab itu, hasilkanlah sesebuah karya yang mampu dikenang sampai bila-bila. Menjadi anak seni harus ada tanggungjawab untuk meletak nilai dalam setiap persembahan. ‘Rasa’ itu harus ada,” katanya ketika ditemui di majlis sidang media ‘A Night With Legends’, semalam.

Tambah pelantun lagu Teratai, beliau turut berpesan agar penyanyi muda menghasilkan lagu di luar kotak dan bukan bersandarkan cinta sahaja.

“ Persembahkan hasil kerja dalam satu dimensi lain. Saya ambil contoh, saya pernah hasilkan sebuah lagu bertema Ramadan dan warisan alam.

“ Lagu sebegini mungkin dimainkan di musim tertentu tetapi ia akan terus diingati sampai bila-bila.

“ Belajar untuk survive dalam bidang ini. Jadikan kerjaya sebagai penyanyi sebuah kehidupan. Jangan takut jika tiada peminat, anda harus lebih takut jika karya anda tidak diingati selepas ini,” akhirinya.

Dalam perkembangan lain, Ramli dan tiga penyanyi lagenda antaranya Dato Jamal Abdillah, Dato Khadijah Ibrahim dan Francissca Peters bakal membuat persembahan di Pusat Konvensyen Desaru Coast pada 6 Julai ini anjuran Desaru Coast Malaysia.

SGMS Fas