Nama Dipetik Bakal Berkahwin Dengan Andi Arsyil, Puteri Sarah Titip Pesanan… Minta Individu Jangan Memandai-Mandai

Pelakon jelita, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin terkejut apabila namanya dipetik bakal menamatkan zaman jandanya bersama pelakon popular asal Indonesia, Andi Arsyil.

Memetik laporan Harian Metro, aktres drama rantaian Suri Hati itu tidak suka apabila ada individu yang mengaitkan namanya dengan isu tersebut, dek kerana ia boleh mendatangkan fitnah.

“Saya tak suka bila ada orang yang keluarkan kenyataan sebegitu kerana ia boleh mendatangkan fitnah.

“Lagipun saya sendiri tidak tahu mengenai isu tersebut (perkahwinan).

“Saya tak suka orang memandai-mandai cakap begitu sebab saya sendiri pun terkejut. Dan, antara say adan Andi kami hanyalah rakan perniagaan,” katanya.

Tegasnya lagi, dia tidak senang dengan tindakan individu tersebut, memandangkan teman rapatnya juga tidak pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian.

“Untuk seseorang keluarkan kenyataan begitu bagi pihak saya, saya rasa tak sedaplah sebab benda ini akan mendatangkan fitnah.

“Kawan-kawan saya pun tak pernah cakap atau keluarkan kenyataan begitu. Tiba-tiba, seseorang itu memandai-mandai keluarkan kenyataan begitu,” jelasnya.

Dalam pada itu, Sarah menjelaskan sekarang bukanlah masanya untuk menamatkan zaman janda kerana dia kini sedang sibuk menguruskan perniagaannya.

Belum lagi masanya. Sekarang, saya nak fokus kepada anak-anak dan perniagaan. Insya-Allah akan mulakan penggambaran semula pada akhir bulan ini.

“Sekarang, alhamdulillah selepas selesai penggambaran beberapa drama dan teater, memang saya 100 peratus tumpukan kepada perniagaan.

“Saya buat siaran langsung pun, sebab saya jual barang di TikTok. Tapi, itu bukan alasan untuk kamu nak buat lawak dan keluarkan kenyataan mengatakan saya nak kahwinlah atau apa,” ujarnya.

Terdahulu, bekas isteri kepada pelakon Hafidz Roshdi iaitu Nurul Shuhada seakan memberi bayangan bahawa pelakon Puteri Sarah Liyana bakal mendirikan rumah tangga tidak lama lagi.

Perkara itu dikongsi Shuhada menerusi komen yang ditinggalkan di ruangan hantaran aktivis sosial, Farah Lee yang berkongsi foto perkahwinannya di Instagram miliknya.

Komen tersebut sekaligus menimbulkan pelbagai spekulasi dalam kalangan warganet.

 

Sumber: Harian Metro

Salma Syahbuddin