“Nampak Kesungguhan Dia & Saya Admire Benda Tu” –  Berbakat! Nadhir Nasar Dianggap Pelapis Beto Kusyairy?

Pelakon popular, Beto Kusyairy sememangnya terkenal dengan gaya lakonan bersahaja namun mampu memberikan impak cukup mendalam kepada peminat yang menonton drama mahupun filem lakonannya,

Justeru, tidak hairanlah jika ramai yang beranggapan sukar untuk mencari pelakon pengganti yang sememangnya mempunyai kelas tersendiri seperti Beto.

Bagaimanapun, menerusi program Melodi, Beto dikhabarkan mempunyai pelapisnya iaitu pelakon baru yang kini sedang mencipta nama dalam industri seni tanah air, Nadhir Nasar.

 

Menurut Beto atau nama penuhnya, NurKusyairy Zakuan Osman, 43, Nadhir adalah pelakon baru yang menunjukkan sifat ingin belajar serta meletakkan kesungguhannya melebihi dirinya sendiri.

“Bagus! Saya sayang Nadhir Nasar tu, saya pernah berlakon dengan dia masa tu projek pertama dia, dia jadi adik saya. Masa tu, saya nampak potensi dia, kesungguhan dia untuk mendalami watak dan kesungguhan dia untuk belajar dan memberikan yang terbaik untuk karya tu tetapi bukan untuk diri dia,” katanya.

Dalam pada itu, Beto mengakui, semangat yang ditunjukkan Nadhir dalam lakonan membuatkan dia mengagumi anak muda berusia 26 tahun itu.

Bahkan, turut mendoakan agar Nadhir sentiasa maju jaya dalam bidang yang diceburinya.

“Saya admire benda tu, kesungguhan dia, sifat ingin belajar dia. Benda tu ada pada dia dan saya sentiasa mendoakan moga dia lebih maju dan melebarkan sayap cuma jangan sampai tidak menjejakkan kaki ke tanah lah. mudah-mudahan. Dan saya percaya benda tu takkan berlaku pada dia,” jelasnya.

 

 

Salma Syahbuddin