Categories: HiburanSelebriti

Nana Mahazan Sedar Diri…

Walaupun kerjaya seni Nurul Hana Binti Che Mahazan atau lebih dikenali sebagai Nana Mahazan (36) bermula dari bidang nyanyian tetapi sepanjang 16 tahun kariernya, Nana hanya menjadi penyanyi selama 3 tahun dan selebihnya dia lebih menyerlah sebagai seorang hos radio dan pengacara televisyen. Nana juga pernah berjinak-jinak dalam bidang lakonan dan penulisan di mana dia menulis di kolum “Bicara Nana” setiap hari Ahad di Harian Metro. 

Walaubagaimanapun baru-baru ini peserta program realiti tv Akademi Fantasia musim pertama ini meluahkan di dalam entri instagramnya yang mengepilkan klip bual bicara di dalam The Sherry Show bahawa dia suka menyanyi walaupun suaranya biasa-biasa saja.  

“Not many yang tahu, saya suka nyanyi…tapi tak lah sedap mana pun…takleh jadi penyanyi pun…saya faham, saya terima dan saya move forward.  But singing will always be my hobby,” tulis Nana. 

Menurut Nana, walaupun dia tidak pergi jauh dalam bidang nyanyian, dia menyukai kerjanya sekarang. 

“Saya seronok buat kerja saya sekarang. Bercakap. Talk. Walaupun tak pernah menang apa-apa award saya tetap bersyukur kerana masih lagi diterima. Being Nana Mahazan, saya komited. Saya selalu berikan sehabis baik. Walaupun saya tahu tak semua orang suka cara penyampaian saya..but hey…saya cuba,” ujarnya lagi. 

Berpegang kepada pesanan ayahnya, anak kelahiran Muar ini mengucapkan terima kasih kepada peminatnya yang masih mengikutinya dan selalu ada untuk dirinya kerana menurut ayahnya “Kalau dalam 10 orang, yang suka kita 1-2 orang pun dah ok kan?”. Syukur masih ada peminat yang menyokong karier Nana selama 16 tahun sebagai anak seni. 

“Terima kasih korang yang follow saya, yang selalu ada. Saya doakan semua dimurahkan rezeki, dipermudahkan segala urusan. Sama-sama kita perbaiki diri dan sayang menyayangi antara satu sama lain, ” katanya lagi.

Nana yang mempunyai dua anak, Althea dan Aaqib hasil dari perkongsian rumahtangga bersama suaminya Raqeem Brian Abdullah pada tahun 2009 merupakan di antara 17 selebriti perintis yang memasarkan produknya sendiri iaitu NanaMahazanBeauty by Nana Mahazan di  bawah portal e-niaga Cantix yang dikendalikan oleh Media Prima Berhad TV Networks (MPTN) melalui Xtra.

Del14