Nazeera Sardi Korban Tenaga Jaga Ibu Sakit, Kini Kembali Aktif Dalam Industri

Setelah sekian lama menyepi, pelakon Nazeera Sardi tampil menyatakan dirinya terpaksa berehat buat seketika demi menjaga ibunya yang sakit, sejak awal tahun lalu.

Menurut Nazeera, dia ada menerima beberapa tawaran lakonan, tetapi terpaksa ditolak atas beberapa faktor dan mahu fokus menjaga ibunya yang kini tinggal bersamanya.

“Dia macam ni, last saya shoot panjang pada hujung bulan 12 untuk beberapa filem. Lepas daripada shoot tu mak saya tak sihat, dia masuk hospital. Lepastu dia duduk dengan saya di sini. So, saya kurang sikitlah shooting.

“Saya ada dapat offer, tapi tawaran yang datang tu memerlukan saya kerja di luar KL. So, masa bulan Januari dan Februari tu saya tak ambil mana-mana offer, saya berehat sekejap dan fokus jaga mak saya.

“Dalam kakak-kakak saya kerja waktu pejabat, saya sahaja yang kerja flexible dan saya je yang tak ada komitmen so saya jagalah,” katanya.

Dalam pada itu, Nazeera sempat berkongsi kondisi terkini ibunya yang dikhabarkan mengalami tekanan darah yang sangat tinggi sehingga hampir diserang minor stroke atau angin ahmar.

“Mak saya ada darah tinggi, nak kata dia minor stroke tu tak juga tapi ada saraf yang terganggu. Bila jadi macam tu dia tak berapa nak responsive sangat dan cara percakapan pun jadi tidak jelas. Ingatan dia pun macam ada benda yang tak ingat.

“Bila dah bawa mak jalani rawatan fisioterapi, akupuntur, urut saraf mak dah boleh cakap macam biasa.

“Alhamdulillah sekarang ni keadaannya semakin baik tapi sepanjang jaga mak tu adalah shooting tapi tak adalah episode panjang. Ni sekarang saya dah shoot balik dah,” jelasnya.

Ditanyakan tentang cabaran sepanjang menjaga ibunya, pelakon itu turut menyatakan dia tidak mengalami sebarang tekanan emosi.

Malah, dia seronok menjalani proses tersebut kerana kini ibunya sentiasa di bawah pengawasannya.

“Dia nak kata mencabar tu tidak tapi biasalah bila kita jaga orang sakit, mak saya pun dah berusia 76 jadi emosi mereka lain sikit. Ada masa emosi dia tidak menentu. Tapi saya enjoy je perjalanan tu.

“Saya bersyukur sebab sekarang ada rezeki dan peluang nak jaga dia. Sebelum ni bila ajak dia datang sini dia taknak datang. Bila ujian ni datang nak tak nak dia kena duduk dengan saya.

“Saya anggap ini rezekilah untuk saya jaga mak saya. Saya pun happy dapat jaga mak dekat sini,” katanya.

 

Fatin Nurain