Nazim Othman Kongsi Detik Cemas Pertama Kali Alahan Ubat

Belum pernah mengalami alahan semasa mengambil apa-apa jenis ubat, pelakon Nazim Othman cemas apabila  matanya tiba-tiba bengkak dan menghadapi kesukaran untuk bernafas selepas mengambil ubat untuk meredakan migrain yang diambil dari krew penggambaran sewaktu menjalani penggambaran drama Suri Katriana.

Pelakon yang popular menerusi drama rantaian Cinta Teruna Kimchi ini tidak menyangka ubat yang diminta dari krew terbabit tidak sesuai dengannya.

“Ini kali pertama saya kena alergi pada ubat sepanjang hidup di dunia yang penuh pancaroba ini.  Selain mata bengkak, nafas pun jadi pendek.

“Alergi tak boleh dibuat main-main ye. Ada tahap alergi yang boleh mengancam nyawa macam apa yang terjadi kat @eleena.sui,” tulis Nazim. 

 

Nazim atau nama sebenarnya Nushrul Alif bin Othman (35) dikejarkan ke klinik berdekatan oleh pelakon Eleena Sui yang juga berada di lokasi penggambaran tersebut. 

“Memandangkan dia pernah kena tahap alahan kepada ubat yang parah, jadi dialah yang paling prihatin sekali apabila tahu saya kena alahan ubat di lokasi penggambaran tadi. 

“Sampai bawak saya terus ke klinik sebab dia takut kalau saya pengsan (seperti apa yang terjadi padanya dahulu). Terima kasih babe! Jasamu kukenang,” kata Nazim lagi.

Selepas apa yang terjadi kepadanya, Nazim menasihatkan pengikut-pengikutnya supaya sentiasa mendapat kebenaran doktor sebelum mengambil apa-apa ubat dan jangan makan ubat sebarangan. 

Perkongsian Nazim mendapat banyak komen dari warganet yang turut menceritakan pengalaman mereka yang mendapat reaksi alahan kepada ubat dan mendoakan supaya Nazim cepat sembuh. 

Del14