“Orang Boleh Kata Apa Sahaja, Namun…” – Ali Puteh Mahu Fokus Jual Ayam

Pelawak Ali Puteh atau nama sebenarnya, Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan Al-Juffrey,33, sekali lagi dilemparkan dengan kata-kata negatif netizen selepas dilantik menjadi duta pembekal ayam mentah.

Selepas beberapa kontroversi yang melanda, dia didakwa mula berniaga kerana mahu membayar wang yang diperintahkan oleh mahkamah terhadap Siti Nor Hidayah Mohd Ali yang merupakan bekas balu abangnya, Allahyarham Abam Bocey.

Tidak terkesan dengan kata-kata orang, Ali Puteh menjelaskan dia menceburi bidang perniagaan kerana minat dan ia merupakan fardu kifayah.

“Saya hanya boleh cakap tak mengapa terima kasih banyak, sebab mahu memberikan fokus pada kerja dan perniagaan ini.

“Fokus perniagaan ini lebih kepada fardu kifayah, jadi saya gunakan peluang ini sebaik mungkin kerana saya juga ada perut yang perlu diisi iaitu keluarga saya.

“Orang boleh berkata apa sahaja namun saya tetap dengan pendirian saya untuk terus maju ke depan,” katanya.

Namun begitu, Ali Puteh menyatakan bahawa dia tidak meninggalkan dunia seni setelah menceburi bidang perniagaan ini.

“Berniaga tidak bermakna saya akan berhenti dari bidang seni, jika diberi peluang untuk bermain di pentas saya akan tetap dengan kerjaya saya sebagai anak seni,” katanya.

Pada 18 Februari 2022 lalu, Ali telah diperintahkan untuk membayar sebanyak RM 60,000 kepada bekas balu abangnya Hidayah atas dakwaan mengeluarkan kata-kata mengaibkan di akaun Instagram miliknya kira-kira dua tahun lalu.

Sumber: Gempak

Atiqah Johari