Pengurus Tangmo Nida, Gatick Mengaku Beri Keterangan Palsu

Kematian aktres popular Thailand, mendiang Nida Patcharavirapong atau Tangmo Nida nampaknya masih belum reda.

Ia selepas pengurusnya, Idrasin atau lebih dikenali sebagai Gatick Juthasuksawat tampil mengaku bersalah kerana memberi kenyataan palsu kepada pihak polis berhubung punca kes kematian selebriti itu.

Memetik laporan Bangkok Post, Ketua Polis Daerah Muang di Nothaburi, Pol Kol Jaturon Anurakbundit memaklumkan, Gatick mengaku dia telah memberikan kenyataan palsu kepada para penyiasat yang terlibat sepanjang kes siasatan dijalankan.

Gatick juga mengesahkan kepada pihak media bahawa dia telah membuat pengakuan terhadap kes berkenaan selepas disoal siasat selama dua jam oleh pihak polis.

Bagaimanapun, dia enggan untuk mengulas dengan lebih lanjut mengenai perkara terbabit.

Sekiranya disabitkan kesalahan, Gatick bakal berdepan hukuman denda sebanyak 400 bhat atau RM500 atau penjara maksimum selama dua tahun.

Ketika perbicaraan berlangsung, Gatick kelihatan ditemani oleh penasihatnya yang juga bekas Ahli Parlimen Parti Palang, Pracharath Sira Jenjaka.

Selain Gatick, empat individu lain yang terlibat menaiki bot yang sama dinaiki mangsa juga akan berdepan tuduhan lebih serius namun, kesemua mereka menafikan dakwaan tersebut.

Untuk rekod, mayat Tangmo ditemui terapung di sungai Chao Phraya sekitar 300 meter dari Pibulsongkram Pier, Nonthaburi, Bangkok selepas tiga hari kehilangannya.

ARTIKEL BERKAITAN:Hasil Bedah Siasat Terbaharu Kematian Tangmo Nida Pula Didedahkan!

Salma Syahbuddin