PANGGIL SAYANG TAK BERMAKNA KAMI BERCINTA

Amboi Syamel, kuat betul menyakat gadis eh? Tak pasal-pasal, orang sekeliling ingat awak playboy pula nanti.

Teman duetnya menerusi lagu Aku Cinta, penyanyi Ernie Zakri memberitahu sikap Syamel yang gemar menyakat dengan panggilan mesra membuatkan orang ramai ingat mereka bercinta!

“Hubungan kami tak lebih daripada sahabat baik. Dia memang suka mengusik dengan panggilan sayang, jadi orang ingat kami bercinta. Tetapi sebenarnya tidak,” ujarnya ringkas.

 

Ernie memberitahu, Syamel bukan sahaja suka menyakat dirinya namun turut ‘mengusik’ pembantu peribadinya dengan panggilan sama.

“ Siapa yang kenal kami mesti tahu sikap ‘gila-gila’ Syamel jika dah rapat dengan seseorang. Saya layan saja saja sikapnya itu sebab letih kadang-kadang,” katanya dalam nada ceria.

Dalam masa sama, Ernie mengaku dia dan Syamel ‘sekepala’ dalam banyak perkara.

Mengenai persiapan mereka menjelang Anugerah Juara Lagu yang bakal diadakan minggu ini, Ernie berkata, mereka sudah mula berlatih sejak tiga bulan lalu.

“ Kami dah ready daripada segi fizikal dan mental. Hanya menunggu hari saja,” katanya bersemangat.

Ernie atau nama sebenarnya, Nur Ernie Shahirah Zakri, 26, dan Syamel bakal mempertaruhkan lagu Aku Cinta di pentas AJL 32.

SGMS Faida