“Paru-Paru Tak Kuat Nak Capai Suara” – Alami Masalah Nafas Pendek, Siti Nurhaliza Akui Kualiti Nyanyian Terganggu

Penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengakui berdepan dengan masalah pernafasan ketika menyanyi gara-gara jangkitan virus COVID-19 kira-kira tiga bulan lalu.

Jelas Siti, akibat mengalami masalah pernafasan pendek tersebut ia memberi impak kepada kualiti nyanyian terutamanya ketika menyanyikan lagu-lagu bernada tinggi.

Bukan itu sahaja, Siti, 43, turut mengakui bahawa kesan masalah pernafasan pendek itu sedikit sebanyak memberi kesan ketika menjayakan konsert amal, Music of The Soul: An Evening with Datuk Seri Siti Nurhaliza yang berlangsung di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), semalam.

“Selepas kena Covid-19 memang pernafasan Siti pendek. Kita nak nyanyi, nak jerit pun susah sangat. Terutamanya penyanyi, kita punya aset adalah suara. Kalau paru-paru tak kuat memang suara tak boleh capai tinggi,” katanya kepada XTRA.

Namun begitu, Siti berkongsi bahawa dia mengambil inisiatif dengan menjalankan latihan Muay Thai untuk mengembalikan kualiti vokalnya.

“Siti memang berusaha untuk kembalikan balik Siti punya range suara yang Siti boleh capai dan sebagainya tapi mengambil masa.

So far Alhamdulillah, banyak perubahan dan kebaikan Siti buat Muay Thai dan sebagainya khusus untuk persembahan,” katanya.

Konsert yang diadakan di Plenary Hall, KLCC semalam turut dimeriahkan dengan penyanyi rock legenda, Datuk Awie.

Untuk info, konsert ini dianjurkan selama dua malam dan Siti menyanyikan lebih 20 buah lagu popularnya seperti Warna Dunia, Melawan Kesepian, Cinta Tak Berganti, Beradu Di Khayalan dan banyak lagi.

Atiqah Johari