Pelbagai Program Baharu Bakal Dilancarkan, Molek FM Lebar Sayap Ke Kuantan!

Molek FM mencipta sejarah dengan melebarkan sayapnya ke Kuantan, Pahang menerusi frekuensi terbaru 100.4 FM secara rasminya pada Ahad, 2 Oktober 2022.

Kehadiran dua frekuensi di Kota Bharu, Kelantan menerusi frekuensi 105.1 dan 93.6 (Kuala Terengganu) membuktikan Molek FM yang di bawah naungan Media Prima Audio (MPA) menerima sambutan positif dan kuar biasa dalam kalangan pendengar Pantai Timur.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MPA, Nazri Noran berkata Molek FM dengan tagline Gu Pantai Timur memberitahu pelbagai program baharu bakal dilancarkan tidak lama lagi.

“Kami akan menambah program baharu untuk orang-orang di Pahang. Mungkin akan ada aktiviti ataupun segment lain.

“Khai Hassan (penyampai radio Molek FM Kuantan) berasal dari negeri ini. Jadi kami akan berbincang dari segi content dan idea supaya kami dapat beri sepenuh tumpuan di Molek Kuantan. 

“Yang pasti akan ada banyak program tapi bergantung pada keperluan dan sokongan daripada client dan sponsorship supaya dapat bekerjasama dengan lebih baik untuk kembangkan program berkenaan,” katanya ketika ditemui di pelancaran Molek FM pada Selasa lalu. 

Bersempena ulang tahun Molek FM mencecah setahun, Nazri Noran berkata mereka akan melakukan satu aktiviti besar-besaran bertempat di Pantai Timur.

“Ada sesuatu yang besar iaitu trademark untuk Pantai Timur akan dilakukan. Tapi insya-Allah kalau dah ada tarikh dan sebagainya kami akan umumkan. 

“Misi untuk Molek FM pada tahun ini telah selesai. Maksudnya kami dah ada di tiga negeri.

“Penyampai untuk Molek FM pantai timur sedia ada ni semuanya memang dah cukup kuat. Jadi dari segi perubahan penyampai memang tiada. 

“Sekarang misi utama kami adalah untuk dekat dengan pendengar dan buat pelbagai aktiviti ‘on ground’ bersama. Bukan setakat show ataupun konsert, tapi seperti keramaian contohnya dikir barat, makanan. Maksudnya perkara yang unik dalam negeri mereka,” katanya. 

Aqilah Paharuzi