Penyanyi Asal Direhatkan, Komposer ‘Bisa Pertama’ Pilih Ucop Dan Irwan

Baru dua bulan lagu Bisa Pertama dilancarkan, komposernya Bayeng Black mengambil keputusan merehatkan penyanyi asal lagu ini, Izzmad Harun.

Meskipun tidak menjelaskan sebab sebenar Izzmad direhatkan, Black memaklumkan lagu itu dirakamkan semula dalam sebuah projek khas.

“ Saya tidak mahu komen panjang. Apa yang saya boleh beritahu projek khas lagu Bisa Pertama akan digantikan oleh penyanyi Ucop (Bukan Sekadar Rupa) dan Irwan Ahmad (Mentor Otai).

“ Saya mahukan pembaharuan dan sebabnya tidak perlu saya perjelaskan. Saya tidak mahu menjejaskan mana-mana pihak.

“ Cukup saya katakan lagu Bisa Pertama mampu pergi lebih jauh dengan kolaborasi terbaharu ini,” katanya kepada XTRA.

Dalam masa sama, Black juga meminta agar Izzmad menghentikan sebarang promosi lagu Bisa Pertama serta merta.

“ Untuk pastikan tiada ‘pertindihan’, pihak saya telah mengeluarkan surat kepada Life Records agar Izzmad tidak lagi mengaitkan lagu ini dalam persembahannya pada masa akan datang.

“ Jangan salah faham, saya tidak bermaksud Izzmad tidak bagus membawakan lagu ini cuma saya mahu bawa lagu ini ke aras lebih tinggi,” katanya.

Akui Black, lagu Bisa Pertama disusun semula dengan konsep terbaharu bersesuaian dengan suara Usop dan Irwan. Lagu ini juga bakal diperdengarkan tidak lama lagi.

Untuk rekod, Bisa Pertama merupaka lagu ke 11 dendangan Izzmad Harun. Lagu ini dilancarkan pada 4 Disember lalu bertempat di Hotel Ibis Kuala Lumpur.

SGMS Faida