“Perasaan Saya Awalnya Berbolak-Balik.. Sehinggalah Terjumpa Video Penghijrahan Nabil Ahmad” – Asfan Shah

Umum mengetahui pengacara terkenal Nabil Ahmad telah berhijrah menjadi seorang muslim yang lebih taat kepada Pencipta, malah video penghijrahan pengacara itu pernah tular di media sosial.

Terbaru, perkongsian Nabil mengenai keindahan proses penyucian jiwa secara tidak langsung telah menjentik hati penyanyi dan komposer, Asfan Shah untuk turut mendalami ilmu agama.

Namun begitu, pelantun lagu Sumpah Cintaku ini menegaskan tindakan tersebut bukan kerana mahu mengikut trend.

Menurut Asfan, hatinya amat tersentuh semasa mendengar luahan dan cerita penghijrahan pelawak terkenal itu.

“Pada awalnya, saya mahu mencari video lakonan dalam telefilem Formula Cinta di YouTube. Saya cari video itu untuk dimuat naik di Instagram (IG) dengan harapan ada tawaran berlakon diberi dan saya rindu kembali ke lokasi.

“Tetapi saya tidak jumpa video berkenaan. Sebaliknya, apa yang ternampak adalah video penghijrahan Nabil. Dia menangis berkongsi cerita. Itu yang menjentik hati saya… Saya benar-benar terkesan dengan video itu.

“Sebenarnya, sudah lama saya terlintas hendak menyertai majlis ilmu sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 lagi.

“Iyalah, selepas tengok rakan artis seperti Saharul Ridzwan, Aliff Aziz dan ramai lagi berhijrah. Tetapi biasalah, perasaan kita berbolak-balik sehinggalah menonton video Nabil di YouTube, awal minggu lalu,” katanya yang ditemubual oleh Berita Harian Online.

Meninjau di ruangan Instagram milik pelantun lagu Alasan Untuk Bahagia itu, hantaran yang menunjukkan Asfan mengikuti tabligh dibanjiri dengan komen-komen wargamaya yang mengucapkan kata syukur.

Sumber: Berita Harian

Aqilah Paharuzi