Pernah Kelar Tangan, Azam Smile Kongsi Pengalaman Depresi

Pernah muncul dengan single Sudahlah Sayang, penyanyi Azam Smile mendedahkan alasan dirinya menyepikan diri beberapa tahun kebelakangan ini.

Kata Azam ketika ditemui baru-baru ini memberitahu, dia terpaksa berehat atas nasihat doktor selepas mengalami masalah depresi.

“ Sebelum bergelar penyanyi, saya pernah bekerja di sebuah syarikat sektor kewangan. Saya akui, tekanan kerja membuatkan saya jatuh sakit sehingga berdepan masalah depresi.

“ Mungkin ramai ingat saya ‘mengada-ngada’ sebab tidak boleh kawal perasaan bila berdepan masalah. Ada kejadian yang menyebabkan saya mengambil keputusan untuk segera ke hospital mendapatkan rawatan,” katanya kepada XTRA.

Berkongsi mengenai pengalaman depresi, Azam pernah mengelar pergelangan tangan sendiri yang mana ketika itu dia melakukannya tanpa sedar.

“ Depresi adalah hal yang tidak boleh dibuat main. Saya kelar tangan sendiri ketika sedang menonton televisyen. Sejak dari kejadian itu, saya mendapatkan rawatan doktor pakar beserta ubat-ubatan yang perlu diambil setiap hari,” katanya yang mendapatkan rawatan di salah sebuah hospital di ibu kota.

Tidak mahu terus mengalah dalam kehidupan, Azam kini bangkit dengan sebuah single berjudul Atas Cintamu yang dilancarkan di Neway Karaoke, Petaling Jaya baru-baru ini.

Single terbaharu ciptaan komposer Dato Nassier Wahav dan Sirkhan Danial ini mengisahkan tentang pengalamannya sebelum ini.

“ Biasanya kalau lagu putus cinta, jalan cerita mesti tentang perempuan ditinggalkan akibat kecurangan lelaki kan? Saya bawakan sedikit kelainan dalam Atas Cintamu,” akhiri Azam berharap lagu ini mendapat sambutan ramai.

Wartawan: SGMS Nanie

SGMS Faida