Polis Sahkan Syazlin Zainal Maut Kerana Jatuh Tingkat 22 Pangsapuri

Polis mengesahkan pemergian pelakon dan pempengaruh, Syazlin Zainal disebabkan terjatuh daripada tingkat 22 sebuah pangsapuri di Taman Iskandar, Johor Bahru pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Raub Selamat mengesahkan pihak polis telah menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan menemui mayat seorang wanita di bahagian bawah sebuah pangsapuri di kawasan Taman Iskandar, Johor Bahru.

Menerusi kenyataan media, pihak polis mengesahkan si mati merupakan seorang pelakon wanita warga tempatan dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

“Pada 10/11/2022 jam lebih kurang 12:50 tengah hari, pihak polis telah menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan menemui mayat seorang wanita di bahagian bawah sebuah pangsapuri di kawasan Taman Iskandar, Johor Bahru.

“Hasil siasatan polis mendapati si mati merupakan seorang wanita warga tempatan yang berusia 26 tahun bekerja sebagai pelakon sambilan.

“Sebab kematian adalah jatuh dari tingkat 22 pangsapuri dan disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru.

“Siasatan awal polis tidak menemui sebarang unsur jenayah. Kes telah diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR), Jelas Raub.

Sehubungan dengan itu, pihak polis juga meminta saksi kejadian untuk tampil memberi keterangan bagi membantu siasatan.

“Pihak polis IPD Johor Bahru Selatan memohon orang ramai yang melihat kejadian ini untuk tampil memberi maklumat di Balai Polis Taman Pelangi atau boleh berhubung dengan pegawai penyiasat iaitu ASP Mat Nawi Bin Ab Rahman di talian 016-5050808,” tutupnya.

Semalam media melaporkan, pelakon dan pempengaruh Syazlin Zainal, 26, meninggal dunia pada Khamis namun punca masih dalam siasatan.

Khairil Khusyairi