“Rakan Baik Kita Pun Boleh Jadi Ular…”- Nabil Aqil Selesa Hubungan Cintanya Kekal Privasi

Pelakon Nabil Aqil mengakui dia lebih memilih untuk tidak berkongsi mengenai hubungan cintanya kerana menganggap ia adalah privasi untuk dirinya dan orang tersayang.

Menurut Nabil atau nama sebenarnya, Muhammad Nabil Aqil Muhammad Salehuddin, 24, apa sahaja perkara yang membuatnya gembira biarlah disimpan dengan rapi memandangkan orang di luar sana boleh menjadi punca perbalahan dalam perhubungan.

“Saya memang seorang yang suka simpan perkara-perkara yang saya anggap menggembirakan sebagai privasi. Kerana, kita tidak tahu orang terdekat atau rakan baik kita pun boleh jadi ular,” katanya.

Nabil yang ditemui ketika sidang media secara maya menerusi drama Ku Punya Hati yang disiarkan di TV3 juga memaklumkan, yang dia juga bersedia menerima kecaman daripada netizen memandangkan dia kurang berkongsi tentang kehidupannya di media sosial.

“Saya kurang aktif di media sosial sebab jadual saya padat. Saya kurang menghadap telefon. Jadi saya memang bersedia menerima kecaman… tak boleh nak buat apa.

“Semua artis pun akan terima benda yang sama dan netizen akan berhenti bila menyedari apa yang dicanang itu tidak betul,” jelasnya.

Sementara itu, menerusi drama 28 episod ini, Nabil turut digandingkan bersama pelakon-pelakon hebat seperti, Sharifah Rose, Nabil Aqil, Hafidz Roshdi, Zila Bakarin, Salina Saibi, Luqman Hafidz, Alya Iman dan ramai lagi. 

Drama Ku Punya Hati ini juga akan disiarkan di slot Akasia, pada setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 7.00 malam di TV3.

Salma Syahbuddin