Ramli MS Ulas Video Viral Nyanyian Ning Baizura – “Perkara Sebegini Berlaku Secara Semula Jadi”

Pengarah muzik terkenal, Datuk Ramli MS mengulas mengenai video nyanyian penyanyi Ning Baizura yang tular di media sosial, baru-baru ini.

Menurut Ramli, perkara tersebut boleh berlaku kepada mana-mana penyanyi, termasuklah masalah teknikal yang tidak dapat dielak.

“Perkara sebegini berlaku secara tidak diduga, kadang-kadang perkara sebegini berlaku secara semula jadi, atau soal teknikal, ia sesuatu yang tidak boleh dielakkan.

“Sudah tentu apabila ia berlaku, akan keluar suara yang tidak sepatutnya. Cuma bagi saya orang yang buat agak jahatlah. Kongsi keburukan orang lain,” katanya.

Selain itu, maestro muzik tersohor itu turut menganggap perbuatan mempamerkan keburukan orang lain itu bukanlah sikap yang baik kerana perkara sedemikian boleh terjadi kepada diri sendiri.

“It’s not good. Kalau kamu membuka atau mempamerkan keburukan orang, siapa tahu suatu hari nanti boleh terjadi pada diri kamu sendiri. Mungkin tidak jadi pada diri sendiri, tetapi akan terkena pada orang yang dekat dengan kita,” katanya.

Malah, Ramli turut menegaskan perbuatan tersebut tidak menjadi satu kesalahan jika tujuannya untuk memberi pendapat dan perbaiki persembahan tersebut.

“Jika mahu disuarakan atau dilantangkan untuk memperbaiki persembahan, maka tidak mengapa. Cuma, memperbesarkan sesuatu perkara seperti hal Ning ini, mungkin untuk meraih perhatian bukan sesuatu yang baik.

“Bukan mahu memihak kepada sesiapa, tetapi seperti yang saya katakan ini adalah sesuatu yang boleh terjadi kepada sesiapa saja. Jadi tidak elok untuk diperbesarkan sebegitu,” katanya.

Terdahulu, video nyanyian Ning Baizura, 47, didakwa tidak berjaya menyampaikan lagu Awan Yang Terpilu dengan baik tular di TikTok dan Twitter.

Menerusi video terbabit, Ning turut menerima kecaman yang dahsyat sehingga dipersendakan oleh beberapa pengguna sosial media.

ARTIKEL BERKAITAN: “Awan Yang Terpeleot Ke Ni?” – Persembahan Nyanyian Viral Jadi Bahan Kutukan Netizen, Ini Respons Ning Baizura

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya Tak Suka Tengok Orang Bantai Ning Baizura, Dia Penyanyi Yang Bagus” – Hattan

Sumber: Harian Metro

Fatin Nurain

Recent Posts