Tak Sangka Jadi Watak Utama, Elizabeth Tan Berterima Kasih Kepada Syafiq Yusof – “Saya Ingatkan Hanya Watak…”

Penyanyi Elizabeth Tan, meluahkan rasa teruja dan berterima kasih kepada pengarah, Syafiq Yusof atas kepercayaan yang diberikan untuk menjayakan watak utama menerusi filem Abang Long Fadil 3.

Menurut Elizabeth atau lebih mesra dengan panggilan Lizzy, pada awalnya dia ingat peranannya menerusi filem tersebut hanya sebagai ‘cameo’ atau jemputan.

“Saya ingatkan hanya watak ‘cameo’, tetapi Skop Productions memberikan watak utama sebagai Alice. Terima kasih atas kepercayaan.

“Selain menonton filem aksi seperti Spy Kids dan Charlie’s Angels berulang kali, saya juga menghadiri kelas seni bela diri campuran (MMA) selama setahun,” katanya.

Lizzy turut memaklumkan sebelum penggambaran filem tersebut, penerbit Datuk Yusof Haslam, telah menghantar ke semua pelakon ke beberapa kelas untuk menjayakan setiap aksi dalam filem tersebut.

“Sebelum penggambaran, penerbit, Datuk Yusof Haslam menghantar kami ke kelas untuk belajar menembak dan sebagainya.

“Sebenarnya penggambaran filem ini dijalankan pada 2019, iaitu pada awal pembabitan saya dalam lakonan. Jadi, secara peribadi saya percaya boleh buat sesuatu berbeza dan lebih baik selepas menonton filem ini,” katanya.

Menerusi pendedahan itu juga, Elizabeth turut menyatakan dirinya sudah cuba yang terbaik untuk menjayakan wataknya dalam filem tersebut sehingga mengalami kecedaraan ringan, biarpun merasakan aksinya agak ‘kayu’.

“Saya merasakan aksi agak ‘kayu’, badan pula keras. Namun, saya sudah cuba yang terbaik pada masa itu,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: “Actually, It’s Quite Hard For Me To…” – Terlalu Sibuk Bekerja, Elizabeth Tan Rancang Hamil Hujung Tahun Ini

Fatin Nurain