Selepas 11 Tahun, Razali Hussain Timang Cahaya Mata Pertama… Kongsi Pengalaman Buat IVF – “Suami Perlu Buang Ego”

Pelakon Razali Hussain meluahkan rasa syukur apabila menimang cahaya mata pertama selepas hampir 11 tahun.

Bercakap kepada XTRA, Razali atau lebih mesra disapa Zally itu memaklumkan pelbagai ikhtiar telah dilakukannya dan isteri, namun proses In Vitro Fertilization (IVF) menjadi pilihan akhir.

“Alhamdulillah kini bayi saya genap sembilan bulan. Ia hasil daripada proses IVF.

“Ia proses yang lama walaupun kami cuma buat sekali sahaja. Nak ke hospital juga lebih kurang lima ke enam bulan juga.

“Banyak juga kami ikhtiarkan dengan pelbagai cara tapi akhirnya IVF juga hasilnya,” katanya.

Razali ditemui pada majlis berbuka puasa bersama Persatuan Seni dan Budaya Redholah di ibu negara, baru-baru ini.

Kongsi Razali lagi, dia mengakui proses IVF sangat memenatkan namun dia dan isteri tidak pernah putus harapan dengan berikhtiar pelbagai cara.

“Sebelum ini ada berjumpa pakar, faktor umur juga adalah satu punca masalah ini terjadi seperti kualiti sperma dan sebagainya.

“Isteri saya juga pernah buat pembedahan sebelum ini, jadi ia juga melambatkan proses normal. Jadi bila kita buat pemeriksaan, baru kami dapat tahu semuanya.

“Kami juga ada berjumpa dengan pakar tradisional untuk mengurut. Alhamdulillah, saya dan isteri beri komitmen 100%. Doa juga tidak pernah putus.

“Tetapi proses IVF ini sangat membantu, kosnya juga tidak mencecah RM20,000” kongsinya.

Dalam pada itu, pelakon sitkom Mai Cek Mai itu turut memberi nasihat kepada para suami terutamanya untuk membuang ego untuk membuat pemeriksaan kesihatan.

“Saya sendiri juga ego, kebanyakan lelaki akan rasa mereka normal sedangkan tidak.

“Pada pemeriksaan pertama saya ada masalah tetapi isteri tidak. Tapi bila buat pemeriksaan kali kedua saya pula tiada masalah dan isteri ada.

“Jadi kami terus buat IVF. Pada suami-suami diluar sana, tak perlu ego. Perkara ini kita perlu cuba,” ujarnya lagi.

Untuk info, Razali mendirikan rumah tangga dengan Nik Noor Azlina pada Jun 2013.

Kini, mereka diserikan dengan seorang cahaya mata perempuan, Tengku Niq Nuraisha, 9 bulan.

Khairil Khusyairi

Recent Posts