Rezeki Semakin Murah Dalam Lakonan, Shiha Zikir Jaga Batas

Selebriti serba boleh, Shiha Zikir mengutamakan pemilihan watak dalam memberikan hasil kerja yang terbaik selagi ia tidak melanggar batas.

Mula dikenali dalam bidang nyanyian, Shiha juga aktif dalam bidang pengacaraan serta mendapat banyak tawaran lakonan.

“Saya pilih watak sebenarnya, sebab ada beberapa watak yang saya tak ambil.

“Contohnya dari segi pakaian yang agak melampau, tak boleh kita buat, so saya terpaksa pilih dan cuba elak perkara itu.

“Jadi siapa yang tengok saya dekat TV tu, watak yang saya bawa dah dipilih betul-betul, sama ada watak tersebut saya memang boleh bawa ataupun tak, tapi mostly saya terima watak komedi,” katanya kepada XTRA.

Menurut Shiha dia juga ingin keluar dari zon selesa dengan mencuba watak-watak baharu jika diberikan rezeki.

“Sebenarnya, sekarang ini, saya betul-betul teringin nak dapat watak yang lebih serius, yang mengalirkan air mata dan antagonis,” jelas Shiha.

Shiha ditemui XTRA ketika majlis Terima Kasih Cikgu Didik TV KPM 2022 di Bayswater at KLCC, semalam.

Shiha juga menjelaskan dia sangat mengutamakan keberhasilan sesebuah karya yang telah dikeluarkan agar memberi impak yang positif.

“Apa yang paling penting, setiap kali saya buat persembahan ke, pertandingan ke, I will do my very best hundred and fifthy percent, Insya-Allah.” katanya lagi.

Halimey Zamal