Rise: Ini Kalilah Di Pawagam 16 September Depan

Bukan Filem Biasa, mendengar tajuknya saja dah buat kita meremang roma! Rise: Ini Kalilah, sebuah filem menghimpunkan barisan pelakon pelbagai bangsa yang terdiri daripada Melayu, Cina dan India.

Mengangkat tema perpaduan, filem ini diarahkan oleh Nik Amir Mustapha, Saw Teong Hin dan M.S Prem Nath. Tiga individu ini pernah menghasilkan karya hebat tanah air, bukan calang-calang pengarah tau!

Penggambaran filem ini turut dilakukan di dalam dan luar negara termasuk di Kota London. Antara barisan pelakon dalam Ini Kalilah adalah Remy Ishak, Mira Filzah, Jack Tan, Shashi Taran, Sangeeta Krishnasamy dan Jen Chia.

Menurut pelakon Remy Ishak, dia teruja dalam masa sama bangga dengan penglibatannya dalam filem yang begitu dekat dengan masyarakat hari ini.

“ Saya memegang watak polis kali ini dan ini merupakan kali pertama saya bekerjasama dengan pengarah Saw Teong Hin. Cukup istimewa bagi saya walaupun saya bawa watak yang ‘terasing’ daripada pelakon-pelakon lain, keakraban itu masih dirasai,” katanya ringkas.

Ini Kalilah turut menampilkan barisan pelakon hebat lain seperti Datuk Jalaludin Hasan, Yana Samsudin, Tony Eusoff, Sweet Qismina, Pushpa Narayan, Remon Lim, Sharifah Sakinah dan ramai lagi.

Filem yang menelan kos sebanyak RM 2 juta ini mengetengahkan kisah rakyat yang bekerjasama dalam merealisasikan satu matlamat sama iaitu sayangkan negara.

Gabungan enam penceritaan berbeza, penonton dapat melihat gambaran bagaimana keadaan sebelum menjelang pilihan raya umum yang cukup simbolik.

Jangan lupa ke pawagam dan saksikan sendiri garapan hebat tiga pengarah dalam sebuah naskah sejarah, Rise: Ini Kalilah pada 16 September depan. Memandangkan hari tayangan jatuh pada cuti Hari Malaysia, anda jangan lepaskan peluang ke pawagam ok!

SGMS Faida