#RoadToBertiga Seakan Beri Bayangan Isteri Hamil, Ini Respons Izzue Islam – “Setiap Hari Saya Berdoa Untuk Kesempatan Ini”

Pelakon, penyanyi dan pengacara, Izzue Islam menafikan isterinya, Awin Nurin sedang hamil gara-gara memberi bayangan menerusi hantaran di Instagram miliknya, baru-baru ini.

Memetik laporan Harian Metro, Izzue menjelaskan ayat #RoadToBertiga di ruangan kapsyen itu hanya sekadar azam tahun baru buat dirinya dan isteri.

“Belum ada rezeki untuk timang cahaya mata. Insya-Allah masa itu akan tiba, tapi tak tahu bila kerana hanya Tuhan yang lebih mengetahui.

“Walaupun sejak berkahwin saya sentiasa berdoa dan berazam untuk memiliki zuriat, tapi saya enggan letakkan harapan tinggi atau tertekan untuk mendapat anak.

“Cuma tipulah kalau tak teringin nak ada anak. Setiap hari saya berdoa agar diberikan kesempatan ini,” jelasnya.

Meskipun hampir 10 tahun mendirikan rumah tangga, Izzue dan isteri tidak pernah berputus asa untuk menunggu masa untuk menimang cahaya mata.

“Jalan terbaik adalah menunggu waktu yang tepat. Lagipun saya dan Awin tiada sebarang masalah kesihatan.

“Doktor beritahu kami berdua berada dalam keadaan baik, cuma belum ada rezeki saja,” ujarnya.

Terdahulu, tular di media sosial apabila Izzue memuat naik video bersama isteri dengan kapsyen yang memberi bayangan bakal bertiga pada tahun 2024.

“2023 dan masih berdua. Walaupun ada cabaran tapi Alhamdulillah Allah permudahkan segalanya untuk tahun 2023. Assalamualaikum 2024, bismillah #roadtobertiga,” tulisnya.

ARTIKEL BERKAITAN: “#RoadToBertiga” – Izzue Islam Beri Bayangan Bakal Timang Cahaya Mata?

Untuk rekod, Izzue dan Awin mendirikan rumah tangga pada Jun 2013.

Maya Basir