Safiey Ilias Nafi Dakwaan Lari Dari Bayar Hutang – “Selama Ini Saya Berdiam Diri Sebab…”

Usahawan kontroversi, Safiey Ilias didakwa lama menyepi di sosial media gara-gara lari daripada peminta hutang.

Memetik laporan Harian Metro, Safiey atau nama sebenar Mohd Safiuddin Ilias terpaksa menjual rumah di Sunway Montana dan kereta mewah Mustang menguatkan lagi dakwaan bahawa dia sudah muflis.

Kini, pelantun lagu Syinta Gila dilihat kembali aktif di Instagram dengan memuat naik hantaran beberapa video terbaru serta menunjukkan dirinya sudah menjelaskan hutang.

Menurut Safiey, ‘kehilangan’ sebelum ini adalah disebabkan penyakit bipolar yang dihidapinya dan bukan berkaitan dengan isu hutang.

“Saya akui memang ada berhutang dengan beberapa pihak. Mereka tahu apa masalah saya hadapi. Saya berterima kasih kerana mereka sudi membantu dalam keadaan saya memerlukan dan terdesak. Sejak beberapa bulan lalu saya mula menjelaskan hutang itu sedikit demi sedikit.

“Apabila saya ambil keputusan untuk kembali aktif di media sosial, ia bermakna saya tidak lari atau hilang terus. Saya tetap memberikan komitmen untuk membayar hutang. Saya tidak pernah tipu sesiapa. Cuma, saya harap mereka bersabar. Saya tetap bayar.

“Selama ini saya berdiam diri sebab masih dalam tempoh rawatan masalah kesihatan bipolar. Atas nasihat doktor, saya perlu mengambil ubat dan berehat. Alhamdulillah, selepas segalanya beransur baik, barulah saya muncul semula,” katanya.

Kini, dia sedang dalam proses membina semula perniagaan dan kembali bangkit selepas melalui episod hitam dalam hidup.

Terdahulu, seorang pengguna di Facebook mendedahkan Safiey menipu dan enggan membayar hutangnya.

Maya Basir