Sambut Hari Jadi Ke 40 Tahun, Ini Doa Siti Nurhaliza…

Sempena hari ulang tahun penyanyi terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza ke 40 hari ini, beliau bersyukur Allah memakbulkan impiannya sebagai seorang wanita.

Dalam masa sama, isteri kepada Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa ini memohon diberi kesihatan yang baik seterusnya dapat memberikan sesuatu kepada masyarakat yang banyak menyokong karier seninya sejak lebih dua dekad lalu.

“ Usia bagi saya hanya angka dan sama ada suka atau sebaliknya, apabila sampai masa, kita tidak dapat mengelak daripada proses kematangan.

“ Pada usia 40 tahun, saya mahu menjadi lebih matang, selain berdoa dikurniakan kesihatan yang baik untuk meneruskan kerjaya dan beribadah kepada Yang Maha Esa.

“ Saya sangat bersyukur kerana pada usia ini, saya masih bertahan dalam industri muzik yang diceburi sejak usia 16 tahun.

“ Fokus utama saya kini adalah untuk lebih mendekatkan diri kepada masyarakat, selain memberi semula dan membantu mereka sedaya mungkin,” katanya kepada BH Online.

Bagi meraikan hari jadi Siti, beberapa stesen radio memberi penghormatan dengan memutarkan lagu dendangannya dalam segmen khas.

Sementara itu, stesen radio, Hot FM turut menganjurkan konsert digital, Bombastik CTDK, mulai jam 9 malam ini sebagai hadiah istimewa sempena hari kelahirannya. 

Konsert itu menyaksikan artis generasi baharu seperti Sarah Suhairi, Kugiran Masdo, Floor 88 dan Neon menyanyikan himpunan lagu popularnya.

Mengulas perkara itu, Siti berkata, dia sangat menghargai usaha dilakukan stesen terbabit, pada masa sama terharu dengan ingatan yang diberikan.

“ Saya segan apabila stesen radio dan televisyen menunjukkan penghargaan mereka dengan memutarkan lagu atau berkongsi kisah hidup saya untuk dihayati peminat.

“ Apabila difikirkan kembali, siapa saya untuk mendapat pengiktirafan besar itu? Saya hanya penyanyi yang cuma mahu menghiburkan orang ramai.

“ Apa yang saya buat selama ini adalah atas dasar cinta terhadap kerja seni, selain mahu menyumbang sesuatu kepada masyarakat,” jelasnya.- BH Online. 

SGMS Faida