“Sarah Yasmine Kenalan Saya” – Anna Jobling

Pelakon, Anna Jobling tampil menjelaskan hubungannya bersama wanita yang didakwa ‘kekasih gelap’ aktor kontroversi, Aliff Aziz iaitu Sarah Yasmine.

Bercakap kepada XTRA, Anna atau nama sebenarnya, Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman berkata, Sarah Yasmine merupakan kenalannya.

Ujar Anna, mereka mula mengenali satu sama lain ketika bertemu pada sebuah acara karnival tahun lalu di Singapura.

“Dia merupakan kenalan saya. Kami berjumpa pertama kali di Celebfest Singapura sekitar Disember lepas.

“Dia datang ke ‘booth’ saya selama tiga hari dan meluangkan masa bersama saya serta pasukan saya, dia sangat baik dengan kami.

“Peminat tahu saya macam mana, kalau orang itu tiada masalah dengan saya, maka saya pun tiada masalah dengan orang berkenaan,” katanya kepada pemberita.

Anna berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Gema Lebaran Anna Jobling di Royale Palace, di Cyberjaya, malam tadi.

Dalam pada itu, mengulas kontroversi yang terpalit antara Sarah Yasmine, Aliff Aziz, Ruhainies dan Bella Astillah itu, pelakon drama Melur Untuk Firdaus itu tidak tahu menahu mengenai isu tersebut.

“Tentang isu kontroversi tersebut saya tak tahu langsung sebab dia sendiri tak pernah kongsi dengan saya.

“Saya pun sibuk dengan kerja saya dengan jadual yang padat, jadi saya tiada masa nak masuk campur dengan isu berkenaan.

“Tambah pula saya tak tanya fasal isu peribadi dekat dia,” ujarnya lagi.

Disoal mengenai tempias isu kontroversi tersebut terhadapnya, Anna menganggap ia adalah perkara biasa padanya.

“Saya tak terkejut sebab sudah biasa terkena tempias dengan isu-isu yang tiada kena mengena dengan saya.

“Bagi saya ia normal dan saya okay sahaja. Lagipun kecaman yang saya terkena itu tidak menganggu kerja saya,” tutupnya.

Terdahulu, tular sebuah foto Sarah Yasmine bersama Anna Jobling didakwa mereka berkawan baik.

Sekadar info, kemelut rumah tangga Bella dan Aliff bermula selepas Aliff ditangkap khalwat oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di sebuah kondominium mewah, Pavillion Suites pada 9 Mac lalu.

Bella kemudiannya membuat keputusan untuk memfailkan cerai terhadap suaminha itu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada 13 Mac lalu.

Walau bagaimanapun sebutan pertama kes cerai itu terpaksa ditangguh susulan ketidakhadiran Aliff yang terikat dengan penggambaran drama ‘Terjerat’.

Aliff bagaimanapaun enggan melafazkan cerai pada sebutan kes cerainya dihadapan Hakim di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan pada hari ini dan mahkamah menetapkan 4 Jun ini sebagai tarikh bagi laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP).

Sehinggalah pada Selasa lalu, seorang wanita dikenali sebagai Sarah Yasmine mengakui ‘kekasih gelap’ kepada Aliff dan mendakwa mereka sudah menjalin hubungan cinta sejak Januari lalu.

Menurut Sarah, dia berani melakukan pendedahan itu kepada umum selepas melihat Aliff teruk dikecam susulan kontroversi ditangkap berkhalwat dengan seorang aktres pada Mac lalu.

Lebih mengejutkan lagi, wanita itu mendakwa aktres yang ditangkap khalwat bersama Aliff telah menghasut aktor berkenaan untuk menjatuhkan Bella.

Malah, dia mendakwa mempunyai segala bukti perancangan yang dilakukan aktres terbabit.

Untuk rekod, Bella dan Aliff mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016 dan hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Mohamad Ayden Adrean, 7, dan Ara Adreanna, 4.

ARTIKEL BERKAITAN: “Kau Dah Kutuk Aku, Mengata, Mencaci Sebab Nak Save P*nt** Kau Sendiri”- Sarah Yasmine Gelar Ruhainies Delusional, Masih Aktif Hantar DM Ajak Bersemuka

Khairil Khusyairi