Sarung Tudung Nampak Leher, Sissy Iman Kecewa Diselar Netizen

Oleh: Zaara Talita

Penyanyi, Sissy Iman mengakui terkilan dengan sikap netizen yang menyelar dirinya kerana menutup aurat menampakkan bahagian leher ketika menyambut 1 Syawal lalu.

Sissy yang kini tampil dengan single berjudul Pesanan Ayahanda itu menganggap teguran secara terbuka itu tidak beradab, namun memilih untuk merahsiakan identiti individu terbabit.

“Saya sebenarnya belum bertudung, tetapi jika saya cuba menyarung dan ini adalah salah satu usaha saya untuk belajar berhijab, tidakkah awak rasa tindakan menyelar saya dengan ayat sebegitu boleh mematahkan usaha saya untuk menjadi insan yang lebih baik?

“Bukan apa, hendak menegur orang perlu tahu adab. Sekian, selamat hari raya,” luah Sissy menerusi perkongsian yang dibuat di akaun Twitter miliknya.

Individu terbabit menggunakan gambar Sissy membuat teguran dan mempersoalkan gaya wanita yang berhijab kerana sering mempamerkan bahagian leher.

Rata-rata peminat dan rakan selebriti turut menyokong tindakan Sissy yang memperjuangkan haknya. Malah, mereka juga berpendapat individu berkenaan seharusnya membuat teguran secara peribadi.

SGMS Faida