“Saya Anggap Ini Hadiah Allah Buat Saya…” – Fazura Lancar Aplikasi Mukmin Pro, Kongsi Manfaat Buat Golongan OKU & Orang Ramai

Pelakon, penyanyi dan usahawan, Nur Fazura sebelum ini mencuri perhatian peminatnya apabila tudung dibawah jenamanya laris dijual dalam masa beberapa jam sahaja.

Malah, telekung eksklusif kolaborasi bersama Datuk Profesor Dr. Muhaya juga mendapat tempias yang sama.

Namun siapa sangka, selain tudung, telekung dan beberapa produk lain,  Fazura juga turut melancarkan aplikasi gaya hidup muslim, Mukmin Pro.

Mukmin Pro merupakan aplikasi yang memberi manfaat kepada pengguna terutamanya ciri penentu arah kiblat, zikir-zikir harian serta fungsi getaran bagi memudahkan golongan kelainan upaya (OKU).

“Kita sering keliru apabila ingin mencari arah kiblat. Terutamanya, apabila ingin solat di luar. Sesetengah aplikasi tiadk berapa tepat dalam menunjukkan dan memberikan arah kiblat. Tetapi dengan aplikasi Mukmin Pro, arah kiblat memang dijamin tepat. 

“Selain itu, fungsi getaran turut dimuatkan bagi memudahkan orang kelainan upaya (OKU) untuk menggunakan aplikasi ini,” katanya.

Menurut Fazura atau nama sebenarnya, Nur Fazura Sharifuddin, 39, sebelum ini pernah terdetik dihatinya untuk mempunyai aplikasi gaya hidup sendiri sepertimana yang dimiliki Mizz Nina.

“Saya memang suka aplikasi gaya hidup begini. Macam Mizz Nina, dia ada aplikasi Qalby dan saya sendiri pernah tolong promosikan. Kemudian terdetik dalam hati alangkah bagusnya kalau saya sendiri ada aplikasi yang boleh memberi manfaat kepada orang lain.

“Jadi, bila pembangun aplikasi, Huzaifa datang berjumpa dengan saya untuk berkolaborasi, saya teruja. Dan saya anggap ini adalah hadiah Allah untuk saya,” jelasnya.

Aplikasi Mukmin Pro juga turut didatangkan dengan kandungan video yang ditapis dan kemudahan lain seperti wakaf Al-Quran, infaq makanan, Aqiqah dan juga ibadah korban.

Salma Syahbuddin