‘Saya Minta Maaf’- Ammar Alfian Akhirnya Mengaku Curang

Setelah beberapa kali menafikan, pelakon filem Paskal, Ammar Alfian akhirnya mengaku curang seperti didakwa isterinya, Nelissa Nezam di Instagram, Isnin lalu.

Melalui laman Instagram miliknya, Ammar, 32, berkata sudah berkali-kali memohon maaf kepada isterinya sebelum ini.

“Saya tahu apa saya lakukan adalah salah. Saya sudah pun meminta maaf berkali-kali sebelum ini pada isteri saya. Tapi, ini hukuman yang saya dapat dari dia. Saya reda dan terima kerana ini semua daripada Allah.

“Di bulan Ramadan ini, pada semua saya meminta maaf. Saya pendosa dan percaya Allah akan memaafkan hambanya yang datang pada-Nya,” katanya.

Katanya, fokus kini pada anak lelaki yang bakal dilahirkan selain ingin menyelamatkan perkahwinan yang dibina sejak Mac 2016.

“Ini adalah kenyataan saya terakhir mengenai isu ini. Tolong hormati perkahwinan saya dan beri saya ruang untuk selamatkan perkahwinan saya.

“Saya harap perjalanan hidup lebih tenang dan dekat pada Allah selepas ini. Sesuatu yang berlaku ada hikmahnya,” katanya.

Dia turut mendakwa, isterinya yang memilih cara penyelesaian seperti ini dan berharap dia berpuas hati setelah motif tercapai.

“Tiada benda lain yang penting. Saya sudah buat pilihan untuk berdiam diri dan selesaikan masalah ini antara saya dan isteri. Tetapi, isteri saya mahu memalukan saya pada khalayak ramai.

“Saya takkan ‘main’ permainan dia. Seperti mana saya beritahu sebelum ini, anda semua tidak boleh faham dan tak mahu dengar belah pihak saya. Jadi, buat apa saya jelaskan apa-apa. Cukup bagi saya, isteri, ibu bapa dan keluarga mentua tahu,” tulisnya lagi.

Isnin lalu, Nelissa Nezam melalui laman Instagram mendedahkan suaminya itu curang dalam keadaan dia kini hamil enam bulan.

SGMS Faida