Categories: HiburanTrending

“Saya Nak Bawa Anak Kurang Mampu Buka Puasa Makanan Sedap-Sedap, Beli Baju Raya Baru” – Putra Amaris

Pelakon dan usahawan, Putra Amaris telah mula membantu mereka yang kurang berkemampuan sebagai persiapan menyambut Ramadan dan Syawal bermula 2 April lalu.

Bersyukur dikurniakan rezeki yang mengalir untuk membantu meringankan beban mereka yang memerlukan, Amaris berterima kasih kepada semua pihak yang sama-sama menyumbang untuk Infaq Ramadan yang dijalankan bersama Pertubuhan Kebajikan Dapur Pasak Kuala Lumpur.

Majlis Pelancaran Infaq Ramadan telah diadakan di Projek Perumahan Rakyat Jelatek baru-baru ini telah menerima sambutan yang baik.

“Saya memang simpan niat nak buat pelancaran projek ini sebelum berpuasa tapi saya risau jika bahagian sumbangan selepas ini tak mencukupi jika saya buat pelancaran sebab kempen ini akan berterusan sepanjang 30 hari puasa. Namun begitu, rezeki Allah memang tak dijangka.

“Ada pihak sudi memberi bantuan. Saya sampai tengah hari, ada satu lori barangan untuk asnaf sampai. Kemudian, datang pula sebuah van yang membawa sumbangan lain. Sangat bersyukur kerana jika lebih banyak sumbangan yang kami perolehi, lebih banyak keluarga yang dapat kami bantu.

“Terima kasih kepada semua pihak yang sama-sama membantu saya menggerakkan projek ini. Saya sangat bersyukur,” katanya.

Amaris juga menyimpan hasrat untuk membina dua buah rumah buat asnaf terpilih yang memerlukan.

“Projek terbabit dimulakan pada 1 April lalu. Rancangan asal memang nak bina sebuah rumah, jika ada rezeki, nak bina dua buah rumah. Saya mohon doa agar ia dipermudahkan. Kalau boleh nak tengok mereka mendiami rumah baharu menyambut Syawal tahun ini.

“Pada masa yang sama, misi untuk kempen memenuhkan 2,000 peti ais asnaf tetap diteruskan dan jika ada rezeki lebih, semestinya saya nak banyakkan lagi kuantiti bantuan. Jadi kami terbuka kepada sesiapa yang berkemampuan untuk sama-sama bantu.

“Nak juga bawa anak-anak yang tak kurang berkemampuan makan makanan yang sedap-sedap, belikan mereka baju raya baru untuk mereka. Doakan agar semuanya dipermudahkan,” katanya yang menguruskan semua aktiviti kebajikan ini sendiri dengan bantuan Team Putra Amaris bersama dengan para sukarelawan Dapur Pasak.

Terdahulu, program #SamaSamaKenyang – Infaq Ramadan turut mendapat sokongan penuh oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim dan turut dihadiri oleh rakan artis, Mas Idayu yang sama turun padang membantu.

Padin