“Saya Sudah ‘Mengalah’ Dengan….” – Amerul Affendi Tak Bergantung Harap Kepada Lakonan Sahaja

Pelakon berbakat besar, Amerul Affendi mengakui sudah ‘mengalah’ dengan industri seni tanah air apabila sebelum ini beliau pernah menyuarakan kekesalan berhubung isu ‘jumlah pengikut’ di laman sosial yang kini menjadi taruhan pihak stesen televisyen.

Menurut pemenang Anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di Festivel Filem Malaysia Ke-27 ini, beliau terpaksa memikirkan cara lain untuk meneruskan kehidupan kerana sedar bahawa fasa kebergantungan kepada kerjaya lakonan sudah tidak lagi rasional.

“Memang saya agak terasa tentang isu jumlah pengikut dalam laman sosial. Saya terfikir apa guna saya belajar di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), habiskan masa dan wang ringgit selama tiga tahun di sana?

“Tetapi bila habis belajar nak mahu bekerja dalam industri (sebagai pelakon), perkara yang dinilai adalah jumlah pengikut dalam laman sosial dan bukannya perkara yang saya timba sewaktu di Aswara,” katanya.

Beliau yang kini berkecimpung dalam bidang pertanian dan penternakan mengakui terpaksa akur demi mencari pendapatan utama disamping menjadikan kerjaya lakonan sebagai hobi.

“Saya tidaklah sampai tahap untuk berhenti terus dalam dunia lakonan kerana masih ada rasa ‘ketagih’ untuk berlakon.

“Sekarang saya berkecimpung dalam bidang pertanian dan penternakan. Keputusan itu dibuat kerana saya sudah mengalah dengan industri dan jadikan kerjaya lakonan sebagai hobi sampingan,” jelasnya.

 

Salma Syahbuddin