Kes Buli : 6 Pelajar MRSM Digantung Sekolah Serta-Merta

Enam pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Kuala Kangsar, Perak yang terlibat dalam kes buli digantung persekolahan serta merta selama dua minggu.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) turut mencadangkan pelajar terbabit ditamat pengajian mereka di institusi berkenaan.

“Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) MRSM sudah memanggil 10 pelajar yang terbabit dengan insiden berkenaan.

“Dalam laporan yang disediakan, enam pelajar terbabit memukul mangsa manakala empat pelajar yang berada di lokasi kejadian didapati bersubahat dan membuat provokasi. Pelajar-pelajar ini berada di Tingkatan 1 hingga tingkatan 3,” katanya.

Tegasnya, Majlis Amanah Rakyat (MARA) mengambil tindakan penggantungan itu berdasarkan siasatan dalaman dan mengikut peruntukan hukuman yang ditetapkan JDM dan kes ini akan dibawa kepada Jawatankuasa Displin Rayuan Maktab.

“Malang bagi MRSM yang mempunyai pelajar-pelajar yang pandai, dipanggil temuduga sebagai saringan, kualiti pendidikan, ko-kurikulum dan jati diri mereka diambil kira untuk kemasukan ke MRSM.

“Tetapi masih juga berlaku lagi kejadian seumpama itu, jadi saya rasa amat kecewa kerana mereka tidak sepatutnya terdedah dengan perbuatan itu,” jelasnya.

Selain itu, pihaknya juga tidak akan mencampuri urusan siasatan dan menyerahkan kepada pihak polis berdasarkan siasatan luaran.

ARTIKEL BERKAITAN:Kes Buli Pelajar di MRSM, Polis Tahan 6 Suspek Utama

ARTIKEL BERKAITAN:“Mak Bapa Hantar Sekolah Bukan Suruh Jadi Samseng!” – Netizen Bengang Kes Buli Pelajar Asrama Viral

 

 

Sumber :Harian Metro

Salma Syahbuddin