“019 & 016 Je Beza” – Diserang Kerana Mempunyai Nombor Telefon Serupa Milik Pembuli MRSM, Mangsa Buat Laporan Polis

Baru-baru ini, tular tangkap layar perbualan WhatsApp melibatkan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar.

Pelajar-pelajar yang membuli rakannya itu memohon maaf kepada ibu bapa mangsa kerana membuli anak mereka.

 


Tangkap layar perbualan tersebut menunjukkan dengan jelas nombor telefon pembuli dan perkara terbabit membuatkan netizen bertindak luar batasan.

Netizen mula menyerang nombor-nombor tersebut untuk mengekspresikan kemarahan mereka terhadap apa yang telah terjadi.

Tetapi, ada pula yang menjadi mangsa keadaan dalam insiden ini.

Seorang pengguna Facebook bernama Akmal Azfar Aspaa pada Sabtu memberitahu adiknya telah menjadi mangsa kemarahan sebahagian netizen.

“Minta tolong semua netizen atau masyarakat Malaysia. Nak marah pembuli yang viral tu tengok dulu nombor betul-betul sebelum WhatsApp. Kesian adik saya kena maki. Bukan adik saya yang buli. Salah nombor tu,” tulisnya.

Di dalam hantaran sama, Akmal turut memuat naik tangkap layar perbualan di WhatsApp yang menunjukkan seorang individu mengeluarkan kata-kata kesat terhadap adiknya.

Akmal menejelaskan di ruangan komen nombor telefon milik adiknya sama dengan nombor telefon milik pembuli viral terbabit, cuma yang berbeza adalah satu angka sahaja iaitu 9 dan 6.

Akmal juga memuat naik hantaran yang sama di akaun Twitter miliknya dan perkongsiannya itu mendapat perhatian.

Walaupun sudah ditularkan, masih terdapat ramai lagi warganet yang menyerang nombor telefon adiknya itu sehingga mereka bertindak membuat laporan polis kerana bimbang akan keselamatan mereka.

Selain diserang di applikasi WhatsApp, adiknya juga mendakwa mendapat panggilan telefon dari beberapa nombor yang tidak dikenali.

Malah, dia juga mendapat mesej WhatsApp daripada seorang individu yang menggunakan gambar profil berpakaian anggota polis berpangkat pegawai.

Menerusi tangkap layar yang dimuat naik di Twitter, individu tersebut mengugut mahu membawanya ke Ibu Pejabat Polis Cheras.

 


ARTIKEL BERKAITAN: Kes Buli: 6 Pelajar MRSM Digantung Sekolah Serta Merta

Arfah