Sebelum Bersara, Jatt Ali Teringin Nak…

Penyanyi Jatt Ali mengaku menyimpan hasrat untuk membuat persembahan di Royal Albert Hall, London suatu masa nanti.

Bekas vokalis utama Black Dog Bone ini juga berharap dengan penyertaannya di dalam program realiti Gegar Vaganza 6 dapat menarik perhatian promoter konsert di sana.

“Sudah 45 tahun saya menjadi anak seni. Sebelum saya memejam mata, saya teringin sangat membuat persembahan di sana.

“Saya mahu membawa peminat mengembara bersama muzik saya dari awal karier sehingga sekarang,” katanya kepada Xtra.

Akui Jatt, di usia 63 tahun dia tidak mahu lagi memikirkan soal populariti kerana sudah melaluinya.

“Sudah cukup bagi saya. Cuma satu sahaja impian saya, mahu beraksi di pentas Royal Albert Hall.

“Kalau ada rezeki buat saya, Alhamdulillah. Jika tiada maknanya rezeki belum berpihak pada saya lagi,” katanya.

Ahad lalu, Jatt berjaya mendapat tempat ketiga dalam program realiti Gegar Vaganza 6 sekaligus menerima hadiah wang tunai RM30,000 dan pakej percutian.

Oleh: Fas

SGMS Faida