Sedar Tidak Boleh Lari Dari Ujian, Bella Astillah Maafkan Sophia Albarakbah Tapi…

Pelakon dan penyanyi Bella Astillah menyatakan dia sudah memaafkan Sophia Albarakbah yang didakwa cuba mengganggu keharmonian rumah tangganya bersama suaminya, Aliff Aziz.

Menurut Bella, biarpun isu tersebut sudah berlalu tindakan Sophia itu akan terus kekal dalam ingatannya sampai bila-bila.

“Saya sudah pun memaafkan demi memperbaiki rumah tangga dan ketenangan diri walaupun sangat sukar.

“Justeru, saya banyak melakukan aktiviti bersama Aliff dan anak-anak. Dengan harapan, tidak akan ada lagi masalah yang timbul.

“Namun, saya sedar tidak boleh lari kerana ujian akan berterusan. Jujurnya, saya sangat takut menghadapinya,” katanya.

Memetik laporan Berita Harian, Bella juga sempat mendoakan hubungan Sophia bersama kekasihnya kekal selamanya.

“Sebenarnya sama ada sudah memiliki teman lelaki atau wanita, ia sama macam kita sudah ada isteri atau suami.

“Boleh sahaja nak ada skandal lain, betul tak? Apapun semoga Sophia bahagia, kekal hingga ke jenjang pelamin dan jannah. Insya-Allah.

“Dan harapnya selepas ini tiada cerita sama timbul. Tetapi, apa yang mahu dilakukan di luar kemampuan kita,” jelasnya.

Dalam pada itu, Bella turut menyatakan dia bersama Aliff sudah bersepakat untuk tidak dikaitkan lagi dengan aktres jelita itu menerusi mana-mana drama.

“Saya dan Aliff sudah berbincang, malah suami menyatakan tidak akan bekerjasama dengan Sophia lagi. Sama dengan saya. Apapun, saya akan hentikan di sini,” katanya.

Terdahulu, Bella tampil mendedahkan seorang pelakon wanita kerap menghubungi suaminya sehingga menggangu keharmonian rumah tangga mereka.

Biarpun tidak menyatakan gerangan individu tersebut, namun rata-rata netizen mendakwa Sophia Albarakbah yang menjadi punca kepada kontroversi itu berlaku.

Malah, Aliff juga tidak menafikan bahawa wanita yang mengganggunya itu adalah Sophia kerana mereka merupakan rakan gandingan bersama dalam drama rantaian TV3, Ku Akad Kau Dengan Bismillah.

 

Sumber: Berita Harian

Fatin Nurain