“Sediakan Ubat Sesuai Umur Dia” – Pertama Kali Umrah Bersama Bilal, Neelofa & PU Riz Mahu Cipta Kenangan Di Tanah Suci

“Sebagai ibu bapa, pastinya saya teruja dalam masa yang sama gementar sebab anak masih kecil.”

Demikian kata pengacara dan usahawan, Noor Neelofa Mohd Noor yang bakal berangkat menunaikan umrah pada petang Khamis.

Memetik laporan Gempak, ini adalah kali pertama dia dan suami yang juga pendakwah bebas, Haris Ismail atau PU Riz bersama anak sulung mereka, Muhammad Bilal mengerjakan ibadah umrah di kota suci itu bersama-sama.

Justeru, segala persediaan yang lengkap telah dirancang sejak awal lagi bagi memastikan keperluan dari segi ubat-ubatan Bilal terjaga.

“Bilal masih kecil baru setahun, jadi kita kena pastikan dia mempunyai suntikan vaksin yang lengkap sesuai dengan umur dia.

“Selain itu, ubat-ubatan Bilal juga disediakan sesuai dengan umur dia. Ini termasuklah, ubat batuk, selsema, demam, Semua tu kita dah minta doktor sediakan,” katanya.

Dalam pada itu, PU Riz juga mengaku dia dan isteri sudah lama menyimpan hasrat untuk membawa Bilal menjejakkan ke Makkah dan Madinah.

“Kami memang gembira sebab dah ada hasrat nak bawa. Ikutkan trip ni nak bawa ramai ahli keluarga tapi belah Neelofa akan ramai turut serta. Tapi ahli keluarga saya pun akan ada sama.

“Kita sangat gembira sebab dapat cipta kenangan di Makkah dan Madinah,” jelasnya.

Berdasarkan pemerhatian XTRA, Neelofa, suami dan ahli keluarga kini berada di Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA1) untuk menunaikan umrah.

 

Sumber :Gempak

Salma Syahbuddin