Selamat Nikahi Watie, Shuib Tamatkan Zaman Duda Dengan Sekali Lafaz

Pelawak popular, Shuib atau nama sebenarnya, Shahmira Muhamad, 39, selamat bernikah dengan pilihan hatinya, Watie Hanifiah, 35, tepat jam 8.47 malam tadi di Putra Glass House, Shah Alam.

Hanya sekali lafaz, pasangan dua sejoli ini dinikahkan oleh abang pengantin perempuan, Qadhaffi Hanifiah dalam majlis indah di hadapan Ustaz Zubairi Ghazali selaku Penolong Pendaftar Pernikahan Masjid Hidayatul Muttaqin, Kampung Bukit Lanchung, Selangor.

Dengan mas kahwin sebanyak RM8,288, Watie atau nama sebenarnya, Fati Nikmatul Adawiyah Hanifiah menerima lima dulang hantaran berbalas tujuh.

Tampan dan jelita mengenakan busana rekaab Fizi Woo, pasangan ini merahsiakan wang hantaran.

Pasangan ini selamat bertunang pada 6 Mei lalu di Shah Alam dalam satu majlis tertutup dan hanya dihadiri oleh keluarga terdekat.

Untuk rekod, ini merupakan perkahwinan kedua Shuib selepas isterinya, penyanyi Allahyarham Siti Sarah Raisuddin meninggal dunia pada 9 Ogos 2021 kerana Covid-19.

Perkahwinan mereka dihiasi empat orang cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 11, Dzahira Talita Zahra, 9, Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan, 2.

Kredit foto: Astro / Indigital / CST

Padin