Selamat Ulang Tahun! Rai Hari Jadi Siti Nurhaliza Bersama Stesen Radio Tempatan

Hari ini, 11 Januari merupakan hari ulang tahun penyanyi tanah air kesayangan Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang ke-43.

Bersempena dengan hari jadi Siti, beberapa stesen radio tempatan seperti Hot FM, Cats FM, Gegar, ERA, Molek FM dan Suria FM memainkan beberapa lagu hits terbaik Siti Nurhaliza.

Hot FM akan memainkan 11 lagu terbaik Siti pada jam 11 pagi dan 11 malam manakala Cats FM telah memainkan lagu-lagu Siti selama 30 minit tanpa henti pada jam 11 pagi.

ERA pula akan memainkan lagu-lagu Siti di dalam segmen khas mereka, Gempak Hit Tok Ti ERA bermula jam 1 petang hingga 4 petang.

Molek FM telah memainkan lagu-lagu pelantun lagu Percayalah ini sejak 6 pagi.

Siti juga mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada stesen radio yang memainkan lagu-lagunya sempena hari ulang tahunnya.

 

“Satu usia yang matang”

Sementara itu, Siti turut menghadiahkan para peminat dengan video menceritakan tentang makna hari lahirnya di saluran YouTube miliknya, Siti Nurhaliza yang dimuat naik pada jam 12 tengah hari.

Dalam video itu, Siti mengucapkan terima kasih kepada ibunya kerana melahirkan dan membesarkannya dengan baik.

Dia juga mengatakan usia 43 tahun ini merupakan usia di mana kehidupannya berasa lengkap dan menjadi lebih matang.

“Satu usia yang matang saya rasa untuk usia 43 tahun. Seorang wanita yang dah punya dua orang cahaya mata, saya rasa ia satu-satu umur yang saya lengkap. Alhamdulillah, Allah dah beri saya zuriat lelaki dan juga perempuan sebagai mana saya nantikan begitu lama,” kata Siti menerusi video itu.

Arfah