Bantuan RM 2,500 Kepada Ketua Isi Rumah Diagihkan Bermula… – PM

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam ciapannya di Twitter memaklumkan, sebanyak 329 ketua isi rumah (KIR) khususnya di sekitar Gombak dan Sepang yang terkesan dengan bencana banjir baru-baru ini sudah menerima Bantuan Pembelian Barangan Keperluan sebanyak RM2,500 pada Isnin.

Tegasnya, bantuan itu dikreditkan terus ke akaun penerima melalui pindahan dana elektronik (EFT) dan proses penyaluran bantuan itu dilaksanakan sepenuhnya oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri melalui pejabat-pejabat pembangunan negeri.

“Selain EFT, kaedah serahan adalah secara tunai di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dan agihan dari rumah ke rumah.

“Dan pada Isnin, kerajaan Persekutuan mula salurkan Bantuan Pembelian Barangan Keperluan sebanyak RM2,500 kepada KIR yang menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) RM1,000,” katanya.

Ismail berkata, ketua isi rumah yang telahpun menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) tidak perlu membuat pendaftaran semula bagi menerima bantuan ini.

Terdahulu, kerajaan sebelum ini mengumumkan Bantuan Banjir Keluarga Malaysia antaranya meliputi BWI sebanyak RM1,000 kepada setiap ketua isi rumah berbanding RM500 sebelum ini.

 

Sumber : Harian Metro

Salma Syahbuddin