Categories: SelebritiTrending

Teruja Bakal Bergelar Bapa, Yonnyboii Hasilkan Lagu Untuk Anak Sulung

Penyanyi rap dan komposer, Yonnyboii sedang menunggu hari untuk menimang cahaya mata sulungnya dan bergelar bapa.

Baru-baru ini, Yonny dilihat membawa isterinya, Nik Nazira Narriman ke sebuah acara walaupun isterinya itu sudah sarat hamil sembilan bulan,

Memetik laporan Harian Metro, Yonny atau nama sebenarnya, Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin menyatakan bahawa dia bertindak membawa isterinya itu kerana bimbang isterinya bersendirian di rumah.

“Usia kandungan isteri sekarang sudah sembilan bulan dan boleh dikata dia menunggu hari untuk bersalin. Jadi, kami kini dalam keadaan bersiap sedia saja menanti masanya bayi dilahirkan.

“Malah, segala persediaan seperti pakaian ibu, barangan keperluan bayi dan sebagainya untuk ke hospital sudah saya siapkan di dalam kereta. Sekiranya Nazira dah rasa sakit nak bersalin, kami akan terus ke hospital saja,” jelasnya.

Yonny juga berkongsi dia dan isteri bakal menimang anak lelaki dan telah memilih nama untuk bayi yang bakal dilahirkan tidak lama lagi.

Bukan itu sahaja, Yonny juga telah siap menghasilkan sebuah lagu istimewa untuk anaknya itu dan akui dia teruja untuk menjadi seorang bapa.

“Doakan urusan kelahiran anak kami dipermudahkan dan berjalan lancar. Saya harap isteri juga dapat bersalin secara normal. Sekarang saya sangat teruja untuk bergelar seorang ayah,” ujarnya kepada Harian Metro.

Untuk rekod, Yonny dan Nazira mendirikan rumah tangga pada November 2021 selepas sebulan bertunang.

Sumber: Harian Metro

Atiqah Johari