Categories: SelebritiTrendingTV3

“Untuk Tahun 2022, Kedua-duanya Berjalan Seiring…” – 2022 Tahun Rezeki Buat Fazley Yaakob

Penyanyi dan cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob berkongsi mengenai rezeki kerjayanya pada tahun ini.

Menerusi sesi temu bual yang disiarkan dalam Melodi pada hari ini, Fazley menyatakan bahawa dunia masakan dan dunia nyanyian berjalan sejak banyak acara penting boleh dilakukan.

“Sebenarnya untuk tahun 2022, kedua-duanya berjalan seiringan. Kalau tengok saya punya media sosial, kita letakkan jenama saya sebagai The Singing Masterchef. Dunia nyanyian dan dunia masakan berjalan seiring,” kongsi Fazley.

Selain itu, Fazley turut menzahirkan rasa syukurnya kerana menerima jemputan untuk menyanyi setiap minggu sejak banyak majlis boleh dilakukan.

“Alhamdulillah, kita dah boleh melakukan banyak event, kita dah boleh ke acara-acara penting. Jadi, jemputan untuk saya kembali menyanyi itu memang setiap minggu saya terima,” katanya.

Fazley juga turut menganggap tawaran menjadi duta dan cef untuk pelbagai jenama makanan merupakan satu peluang untuk menaik tarafkan masakan Malaysia.

“Apabila saya menjadi duta dan juga chef untuk pelbagai jenama F&B, saya rasa ini satu tanggungjawab kerana apabila mendapat peluang untuk mencantikkan resipi, menghasilkan resipi baru dan juga meyakinkan masyarakat tentang jenama-jenama yang saya bekerjasama, ini merupakan satu peluang untuk menaik tarafkan masakan Malaysia sebenarnya,” kongsinya.

Beliau turut menjelaskan walaupun ramai yang tahu bahawa dia pernah belajar di Perancis, tetapi jiwanya tetap anak Negeri Sembilan.

“Ramai orang tahu saya belajar di Perancis, tetapi jiwa saya tetap anak Negeri Sembilan,” jelasnya.

Fatin Nurain