Selepas 27 Tahun, Akhirnya Nico G…

Meskipun sudah 27 tahun bertahan dalam industri hiburan, kumpulan hip hop terkenal Nico G berjanji untuk sentiasa tampil dengan muzik lebih segar agar terus diterima pendengar. 

Dianggotai oleh MD Nico, Dino G dan Affa, Nico G kini hadir dengan album terbaharu berjudul ‘Black Edition’.

Lebih menarik, sebanyak enam buah lagu dimuatkan dalam album kelima mereka ini.

“Kami masih mengekalkan genre sama iaitu lagu rap berunsur nasihat namun dengan susunan muzik lebih muda dan segar.

“Album ini menampilkan sisi lebih ‘gelap dan ghetto’ sesuai dengan citarasa pendengar muda masa kini. Pendek kata, kesemua lagu lebih dramatik berbanding karya terdahulu,” kata Dino mewakili Nico G ketika ditemui di sidang media pelancaran album ‘Black Edition’ di Walimapuri, Jalan Damai, petang tadi.

Tambah Dino, pelancaran album akan dilakukan beberapa peringkat sebelum majlis pelancaran secara besar-besaran pada Februari 2020.

“Kami perlu mengikut trend semasa dengan melancarkan lagu demi lagu. Buat masa ini sebanyak dua lagu dilancarkan terlebih dahulu. Single KGB (Kampung Baru) dan Siaga yang bermaksud siap sedia dipilih menjadi taruhan kami di peringkat pertama.

“Insha Allah, pelancaran peringkat kedua akan diadakan pada Disember depan seterusnya majlis pelancaran album penuh pada tahun depan. Kami amat berharap peminat lama dan generasi baharu dapat menerima baik enam lagu ciptaan bersama komposer muda,” ujarnya. 

Majlis pelancaran turut diserikan dengan persembahan mantap daripada Nico G dengan dua buah lagu baharu mereka, KGB dan Siaga.

SGMS Faida