Selepas 8 Tahun, Peminat Terubat Rindu Lihat Neelofa Kembali Mengacara Nona TV3

Pengacara dan usahawan sensasi, Neelofa kembali ke set program Nona TV3 bersama hos Amyra Rosli.

Melalui perkongsian di Instagram, Neelofa yang tampil sebagai hos undangan sempena ulang tahun ke-38 TV3 mendedahkan produksi Nona adalah seperti keluarga yang sentiasa tersemat di hatinya.

“Terasa macam sirih pulang ke gagang, bak keluarga yang tak pernah hilang,” tulis Neelofa.

Pernah menggalas tugas sebagai hos program terbabit bersama Fara Fauzana pada tahun 2012 sehingga 2014, Neelofa turut berkongsi rasa gembira dapat bekerjasama dengan pasukan dan krew Nona yang mengangkat isu wanita dan masyarakat.

“Rasa happy dan gembira bila dapat bekerjasama dengan krew dan team Nona yang sangat teliti dalam mengangkat pengisian berkualiti tentang isu kewanitaan dan masyarakat,” tulisnya.

Menurut Neelofa, terasa seperti baru semalam dia meninggalkan program itu dan mengakui bahawa Nona mempunyai aura dan kekuatannya tersendiri.

“Macam baru semalam saya meninggalkan program ini, tapi auranya masih menebal terasa, masih punya kekuatan tersendiri.

“Tak hairanlah Nona masih bertahan sehingga hari ini, sejak 1985 tahun penyiarannya,” ujarnya.

Di ruangan komen, rata-rata peminatnya memberi komen yang positif dan gembira dapat melepaskan rindu melihat Neelofa mengacarakan Nona TV3 selepas lapan tahun meninggalkan program terbabit.

Maya Basir