“Selepas Lebih 100 Hari Di NICU, Anak Perempuan Kami Akhirnya Pulang Ke Rumah” – Anak Priyanka Chopra Lahir Pra-Matang

Pasangan selebriti terkenal, Priyanka Chopra dan suami, Nick Jonas meluahkan rasa teruja dapat membawa pulang bayi perempuan mereka selepas 100 hari dirawat di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU).

Pelakon terkenal Bollywood itu memuat naik foto dia sedang mendukung bayi perempuan yang diberi nama Malti Marie Chopra Jonas, namun wajah anaknya ditutup.

Menerusi perkongsian Priyanka di laman Instagram miliknya, dia dan suami mengakui berdepan dengan pelbagai cabaran sepanjang beberapa bulan anak mereka yang lahir pra-matang.

Priyanka menganggap pengalaman yang mereka lalui sangat berharga dan teruja untuk menjalani kehidupan dengan bayi perempuan mereka.

“Sempena Hari Ibu, kami lalui banyak cabaran sepanjang bulan ini, di mana kami tahu ramai juga melalui pengalaman yang sama. Selepas lebih 100 hari di NICU, anak perempuan kami akhirnya pulang ke rumah.

“Setiap keluarga melalui perjalanan hidup yang unik dan memerlukan keyakinan manakala kami berdepan dengan cabaran beberapa bulan ini namun kami anggap ia satu momen yang berharga dan sempurna.

“Kami sangat gembira anak perempuan kami sudah pulang ke rumah, dan mahu berterima kasih kepada semua doktor, jururawat dan pakar di Rady Children’s La Jolla serta Cedar Sinai, Los Angeles yang sentiasa berada di setiap langkah kami.

“Babak baharu kami bermula sekarang, bayi kami sangat berharga. Mommy dan Daddy sangat menyayangi kamu,” tulis Priyanka.

Pada Januari lalu, Priyanka dan Nick berkongsi berita gembira mereka menyambut bayi sulung melalui kaedah ibu tumpang namun bayi berkenaan lahir pada usia kandungan baru 27 minggu.

Sumber: mStar

Maya Basir