‘Seloka Hari Raya’ Bentuk Avatar 3D Himpun Artis Naungan Warner Music Malaysia

Selepas melancarkan rakaman semula single khas sempena Hari Raya Aidilfiti iaitu ‘Seloka Hari Raya’ baru-baru ini, syarikat rakaman Warner Music Malaysia (WMM) kini tampil dengan buah tangan terbaharu, sebuah video muzik ‘Seloka Hari Raya – Memoji’.

Video muzik berkenaan memaparkan visual menarik barisan artis bawah naungan label WMM menyanyikan semula lagu raya hits klasik 70-an nyanyian Uji Rashid dan Hail Amir dalam bentuk avatar 3D wajah mereka sendiri menggunakan sebuah ciri teknologi yang dikenali sebagai Memoji.

Rakaman yang dilakukan menggunakan telefon pintar iPhone XR itu terhasil daripada buah fikiran dan inisiatif artis-arts WMM sendiri di mana antara yang terlibat dalam pembikinannya terdiri daripada Ajak, Alyah, Amir Hasan, Andi Bernadee, Awi Rafael, Bunga, Ezlynn, Kaka Azraff, Kucaimars, Layla, Pasya dan Yasin.

Mengulas tentang video muzik “Seloka Hari Raya – Memoji”  berkenaan, Anne Mukhtar selaku Pengurus Promosi dan Pemasaran Bahagian Domestik Warner Music Malaysia memberitahu:

“Penghasilan video ini merupakan idea artis-artis WMM sendiri. Bila mereka selalu bertemu atas urusan kerja, mereka selalu berbincang sesama mereka dan saling bertukar pandangan tentang muzik dan trend terkini. Jadi bila mereka tampil dengan idea unik untuk membuat video muzik menggunakan avatar 3D berdasarkan wajah mereka sendiri, pihak WMM merasakan ini peluang terbaik untuk memaparkan ciri peribadi yang sinonim dengan mereka dalam format visual yang berbeza sekaligus mencipta kelainan – berbeza daripada video muzik yang pernah kami terbitkan sebelum ini.”

Video muzik “Seloka Hari Raya – Memoji” boleh ditonton di saluran YouTube Warner Music Malaysia dan Apple Music bermula 3 JUN 2019.

SGMS Fas