“Semenjak Covid Tu, Dah Takda Selera Nak Berlakon” – Izara Aishah

Kemunculan pelakon jelita Izara Aishah menerusi drama bersiri dan filem di kaca televisyen kini mula menjadi kerinduan ramai peminatnya.

Kini, Izara kelihatan lebih selesa dan bergerak aktif dalam menguruskan perniagaannya serta menghadiri acara-acara fesyen yang kerap dikongsikan menerusi media sosialnya.

Terbaharu, Izara tampil berkongsi momen dirinya diusik oleh suaminya, Adib Khalid yang pelik melihatnya memakai tudung ketika memasak demi membuat content di TikTok.

“Tekejut suami harini “Eh masak pakai tudung?” 😂 Nak tiru orang buat content lah,” tulisnya.

@izaraaishahofficialTekejut suami harini “Eh masak pakai tudung?” 😂 nak tiru orang buat content lah.♬ original sound – Izara Aishah 🇲🇾🇵🇰

Namun, yang lebih mencuri perhatian apabila salah seorang peminatnya meluahkan rasa rindunya untuk melihat aktres jelita itu kembali menghiasi industri lakonan tanah air di ruangan komen.

Menyedari perkara itu, Izara tampil menyatakan dirinya kini seakan-akan fobia untuk kembali berlakon sejak penularan Covid-19, dua tahun lalu.

“Semenjak covid tu, dah takda selera nak berlakon,” katanya.

Fatin Nurain